Usaha memulihara alam sekitar dan khazanahnya adalah tanggungjawab semua pihak dan tidak boleh diserahkan hanya kepada masyarakat Orang Asli, kata Tok Batin Kampung Orang Asli Ulu Lakai, Debis Lebong.

Beliau berkata semua pihak termasuk agensi kerajaan harus berganding bahu menyelamatkan alam sekitar dan warisannya daripada kerakusan pihak tidak bertanggungjawab, demi generasi akan datang.

Debis yang percaya masih banyak khazanah hutan belum dikaji atau ditemui jenis dan spesisnya oleh para pengkaji, menggesa agar aktiviti pembalakan yang boleh merosakan sumber alam sekitar dihentikan.

"Kalau hutan diterokai, khazanah alam seperti misalnya gua-gua di kawasan ini, dikhuatiri akan rosak. Bagilah peluang pihak pengkaji dan pelajar untuk mengkaji alam sekitar dan memanfaatkan ilmunya dan ada sesetengah kawasan itu berpotensi untuk diketengahkan kepada dunia luar sebagai kawasan pelancongan.

"Ini akan dapat memberi nilai tambah kepada kawasan ini dan penduduknya, pada masa yang sama, dapat menjana ekonomi negeri," katanya kepada pemberita selepas sesi dialog bersama wakil agensi kerajaan dan swasta di sini, pada Khamis.

Semua pihak termasuk agensi kerajaan harus berganding bahu menyelamatkan alam sekitar dan warisannya daripada kerakusan pihak tidak bertanggungjawab, demi generasi akan datang. - Bernama

Dalam pada itu, Debis memaklumkan pihaknya berpuas hati dengan semua penjelasan diberikan oleh wakil agensi kerajaan dan swasta yang memaklumkan bahawa tiada aktiviti pembalakan akan berlaku di hutan berhampiran kampung berkenaan seperti mana yang dilaporkan.

"Kita juga berharap kerajaan negeri turut sama membantu dan menyokong usaha pemuliharaan alam sekitar," katanya.

Terdahulu, pada sesi dialog yang berlangsung selama dua jam, masyarakat kampung itu menyuarakan kebimbangan berikutan desas-desus kononnya kawasan hutan berhampiran kampung mereka akan diterokai termasuk diwujudkan kuari, yang menurut mereka akan menjejaskan sistem ekologi hutan.

Selain itu, mereka juga membantah sebarang aktiviti yang merosakkan alam sekitar, serta menyebabkan kerugian kepada semua pihak.

-- BERNAMA