Kerajaan dinasihatkan agar tidak tergesa-gesa untuk melaksanakan pemansuhan aliran sastera dan sains bagi pelajar Tingkatan Empat mulai tahun depan.

Presiden Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Datuk Dr Raduan Che Rose berkata langkah itu dikhuatiri memberi implikasi terhadap kursus di peringkat universiti selain bertentangan dengan langkah Kementerian Pendidikan menggalakkan mata pelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

"Ketika ini kita (universiti) berada dalam keadaan yang serius untuk mendapatkan pelajar daripada aliran sains. Sains terdiri daripada fizik, kimia, biologi, matematik dan matematik tambahan".

"Jika semuanya dah tiada dan bercampur-campur, bagaimanakah kita akan meletakkan pelajar menjadi kursus berasaskan sains? Kami akan memanggil universiti dan profesor untuk mendapatkan maklum balas mereka," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat perbincangan meja bulat bersama 50 Ilmuwan di Ibu Pejabat MPN, di sini pada Khamis.

Awal minggu lepas, media melaporkan mulai dari tahun depan pelajar tingkatan empat tidak lagi dibahagikan atau dibezakan mengikut aliran sastera dan sains, sebaliknya mereka akan dibenarkan memilih subjek mengikut minat mereka.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching dilaporkan berkata, perbezaan antara dua aliran itu tidak lagi wujud selari dengan pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).

Sementara itu, mengulas mengenai mesyuarat berkenaan, Raduan berkata MPN memandang serius isu-isu berkaitan Kontrak Sosial yang dibangkitkan dan dipolitikkan oleh sesetengah pihak.

Katanya, hasil mesyuarat itu akan didokumentasikan dalam sebagai kertas cadangan dan akan diserahkan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir dalam tempoh terdekat.

"Ramai yang tidak faham dengan konteks Kontrak Sosial ini hingga dipolitikkan dan menyebabkan masyarakat keliru. Semua saranan dan cadangan mesyuarat ini akan diserahkan pada Perdana Menteri.

"Turut dibincangkan, adalah isu ucapan Prof Datuk Zainal Kling yang didakwa mengandungi unsur hasutan, namun MPN berpendapat ucapan beliau tidak mengandungi unsur mengapi-apikan ketegangan kaum seperti didakwa sesetengah pihak," katanya.

-- BERNAMA