Jangan panik!

Tiada sebarang kes disyaki jangkitan koronavirus dimasukkan ke mana-mana hospital di Pulau Pinang dan Pahang.

Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr Asmayani Khalib berkata, pihaknya memohon kerjasama daripada semua pihak supaya lebih berhati-hati dan tidak menyebarkan sebarang berita tidak sahih.

Kata beliau, langkah itu penting supaya tidak menimbulkan keresahan dan kerisauan dalam kalangan masyarakat.

"Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang menafikan sepenuhnya satu berita yang tular telah disebarkan melalui WhatsApp berkenaan pihak Hospital Seberang Jaya (HSJ) telah menerima kes pertama koronavirus.

"Ia kononnya melibatkan dua warganegara asing dari China yang dipercayai telah mengunjungi Thailand. Sehingga Ahad tiada sebarang kes disyaki jangkitan koronavirus yang dimasukkan di hospital seluruh Pulau Pinang," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Kenyataan media Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang mengenai berita palsu yang tular mengenai jangkitan koronavirus.

Dalam nada yang sama, Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr. Bahari Awang Ngah menegaskan, tiada sebarang kes disyaki jangkitan koronavirus dimasukkan di hospital seluruh negeri itu, sehingga Isnin.

Kata beliau, pihaknya telah mengenal pasti kenyataan yang dimuat naik dalam laman sosial Facebook Kuantan City kononnya terdapat satu kes jangkitan koronavirus di Hospital Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di Kuantan.

"Siasatan kami mendapati pesakit yang terlibat menerima rawatan di hospital tersebut dan mendapat jangkitan virus korona biasa.

"Pesakit merupakan warganegara Malaysia dan tiada kaitan dengan perjalanan ke Wuhan mahupun China dalam tempoh 14 hari sebelum dia sakit," katanya dalam kenyataan berbeza, hari ini.

Kenyataan media Jabatan Kesihatan Negeri Pahang mengenai berita palsu penyebaran koronavirus.

Menurut Dr Bahari, admin Facebook Kuantan City telah menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf atas kesilapan yang dilakukan kerana ia mengakibatkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

BACA: Koronavirus: Angka korban meningkat, 106 disahkan maut di China

B
ACA:
Maklumat palsu dan khabar angin gugat reputasi KKM tangani koronavirus