Bekas Pengarah SRC International Sdn Bhd, Datuk Suboh Md Yassin memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau percaya sebarang operasi berkaitan SRC International memerlukan persetujuan “pihak atas” iaitu Datuk Seri Najib Razak.

Saksi ke-42 itu berkata ini kerana bekas perdana menteri itu merupakan ‘Advisor Emeritus SRC’ dan sebarang keputusan Lembaga Pengarah perlu mendapatkan nasihat daripada Najib.

Suboh berkata demikian ketika sesi pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ishak Mohd Yusoff.

BACA: "Saya takut sebab Datuk Seri Najib masih PM" - Suboh

Jelas beliau, Ketua Pegawai Eksekutif SRC International, Nik Faisal Ariff Amir bertindak sebagai “penghubung” di antara Lembaga Pengarah dan Najib.

“Tindakan melaporkan sebarang perbincangan atau keputusan berkaitan SRC akan dibuat oleh Nik Faisal sahaja kepada Najib.

“Saya berpendapat sedemikian kerana kerap kali berlaku keadaan di mana sekiranya terdapat surat atau dokumen yang ditujukan secara khusus kepada Najib, Nik Faisal akan menyatakan bahawa surat atau dokumen tersebut akan dibawa oleh beliau sendiri,” katanya ketika membaca pernyataan bertulis saksi.

Suboh menambah beliau juga pernah menimbulkan persoalan berkenaan isu “due diligence” SRC International serta pertimbangan untuk projek pelaburan syarikat tersebut.

“Nik Faisal selalu akan membalas dengan menyatakan perkara tersebut telah dibincangkan dan dipersetujui oleh 'pihak atas'.

"Pada pendapat saya, 'pihak atas' yang dikatakan oleh Nik Faisal adalah merujuk kepada Datuk Seri Najib,” katanya.

Suboh mengambil contoh dengan merujuk dua Minit Mesyuarat Lembaga Pengarah SRC yang masing-masung diadakan pada 23 Ogos 2011 dan 13 September 2011.

Mesyuarat itu membincangkan mengenai cadangan pelaburan wang pinjaman Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan pelaburan di Indonesia.

Ujarnya, sebagai Pengarah SRC International beliau bertanggungjawab untuk memastikan wang syarikat itu dilabur dengan baik.

“Saya sedia tahu yang Datuk Seri Najib selaku Perdana Menteri telah melantik saya sebagai salah seorang Pengarah SRC dan oleh itu beliau juga mempunyai kuasa untuk memecat saya.

“Saya sedar dan mengetahui bahawa kuasa mutlak untuk hire dan fire mana-mana ahli Lembaga Pengarah SRC adalah terletak di tangan Datuk Seri Najib.

“Walaupun terdapat tindakan SRC yang pada pendapat saya tidak wajar, saya tidak meletakkan jawatan kerana saya rasa bertanggungjawab untuk dana SRC yang telah dilaburkan di luar negara,” katanya.

Najib didakwa dengan tiga tuduhan pecah amanah jenayah dan satu tuduhan salah guna kuasa membabitkan wang berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali disambung semula pada 1 Julai ini.