Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyambut baik dan berterima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memberi bantuan RM200 kepada mahasiswa semua institusi pengajian tinggi menerusi pakej Ransangan Ekonomi yang dibentangkan kelmarin selari dengan insentif lain kepada rakyat Malaysia.

UPSI menerusi satu kenyataan memaklumkan, sebagai tanda prihatin dan menyambut inisiatif kerajaan, pihak pengurusan UPSI bersetuju mengadaptasi dasar kerajaan dengan melaksanakan penangguhan atau moratorium kepada warga UPSI yang membuat pinjaman komputer, motosikal dan sebagainya bagi meringankan beban mereka bermula April depan.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan peruntukan bantuan RM200 dan kemudahan penangguhan pembayaran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperlihatkan kerajaan menjaga kebajikan bukan sahaja mahasiswa di universiti malah yang baru meninggalkan universiti.

Ia sekali gus dapat memberi keselesaaan kepada kakitangan yang berpendapatan rendah untuk mengharungi kesulitan hidup disebabkan virus COVID-19.

Kebajikan warga UPSI akan sentiasa dijaga sebaik mungkin kerana tanpa komitmen padu semua kakitangan sukar universiti mencapai kecemerlangan universiti ke arah menjadi universiti yang dihormati dan relevan.