Undi Ahli Parlimen menentukan tempoh perkhidmatan Tun Dr Mahathir Mohamad sama ada harus menyerahkan kuasa Perdana Menteri kepada mana- mana pemimpin atau meneruskan perkhidmatan sehingga tamat tempoh pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kelak.

Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, seandainya proses pengundian berlaku di Dewan Rakyat, apa sahaja keputusan yang bakal dibuat mestilah dihormati oleh kesemua pihak sama ada ahli politik mahupun rakyat tanpa sebarang bentuk pertikaian lagi.

“Kaedah yang terbaik untuk menentukan tempoh khidmat perdana menteri masa kini sama ada harus berkhidmat separuh atau sepenuh penggal sepatutnya diserahkan kepada proses pengundian di Parlimen.

“Inilah kaedah yang terbaik dan adil bagi menentukan tempoh perkhidmatan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri ketujuh.

“Seseorang tokoh politik selaku Ahli Parlimen mesti mendapat sokongan majoriti untuk menjawat jawatan Perdana Menteri. Tanpa sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat, seseorang tokoh pemimpin itu boleh diusulkan dengan undi tidak percaya yang kemungkinan boleh menjatuhkannya sebagai seorang perdana menteri bila hilang kepercayaan majoriti di kalangan Ahli Parlimen,” katanya dalam satu kenyataaan pada Jumaat.

BACA: 'Saya tak bercadang jadi PM untuk sepenggal, namun ... '- Tun Mahathir

BACA:
Kekalkan Tun M jadi PM sepenggal cadangan yang baik - Mukhriz

Pada Khamis, Dr Mahathir menegaskan, akan tetap memegang janjinya untuk memberi laluan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, walaupun ada permintaan agar terus kekal sepenggal.

Dr Mahathir bagaimanapun berkata, akan melepaskan jawatan itu apabila diyakini Malaysia dalam keadaan yang baik dan stabil.

Dalam pada itu tegas Khairuddin, proses pengundian di Parlimen untuk menentukan kedudukan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri akan memuaskan perasaan semua pihak.

“Proses pengundian secara telus dan adil di Dewan Rakyat juga adalah selari dengan amalan demokrasi di negara kita.

“Rakyat sudah jelek mendengar mengenai isu pengganti perdana menteri dan perbalahan bagi menentukan siapakah yang harus mengambil alih tampuk pentadbir nombor satu negara buat detik ini.

“Selagi keadaan kesihatan Dr Mahathir sihat dan mendapat kepercayaan majoriti dalam Parlimen; maka sepatutnya selagi itulah Dr Mahathir harus menjawat jawatan perdana menteri sehingga akhir penggal perkhidmatan,” ujarnya.

Katanya lagi, pada masa sekarang, ramai daripada pemimpin-pemimpin pembangkang dan juga dalam Pakatan Harapan (PH) mahukan Dr Mahathir meneruskan perkhidmatannya.

“Mereka sudah nampak pelbagai ‘positive indication’ keadaan ekonomi negara berada di tahap semakin baik serta memberangsangkan.

“Paling penting kita penuhi amanah rakyat yang memenangkan PH pada PRU ke-14 untuk kerajaan baru terus membina semula negara dan bukan berebut kuasa sesama kita,” jelasnya.

Tambahnya, dunia luar dan pelabur kini mempunyai keyakinan tinggi kepada Dr Mahathir mentadbir negara mengikut acuannya yang tersendiri selain sedang berada di landasan terbaik buat masa ini.

“Maklum balas daripada rakyat di peringkat akar umbi turut memberi reaksi amat positif dan juga berpendapat biar Parlimen yang bakal menentukan kedudukan tempoh perkhidmatan Dr Mahathir selaku Perdana Menteri.

“Satu usul khas haruslah dicadangkan pada persidangan Parlimen penggal akan datang bagi mengadakan proses pengundian untuk menentukan kedudukan Dr Mahathir sama ada harus menyerahkan jawatan kepada Anwar pada pertengahan penggal atau menghabiskan tempoh perkhidmatan sepenuh penggal.

“Biarlah proses pengundian dalam Parlimen menentukan kedudukan Dr Mahathir dan proses pengundian ini mestilah telus serta dijalankan secara seadil-adilnya,” katanya.