Universiti Malaysia Sabah (UMS) berada pada kedudukan Ke-58 dunia dalam UI GreenMetric World University Ranking yang diumumkan pada Selasa.

Pengarah Pusat Pengurusan EcoCampus UMS, Prof Madya Dr Berhaman Ahmad berkata pencapaian itu sekali gus membolehkan UMS berada dalam lingkungan 7.4 peratus kampus universiti paling lestari dan hijau di seluruh dunia.

"Kita telah naik 13 anak tangga iaitu dari ranking Ke-71 dunia pada tahun 2018. Ia satu peningkatan yang memberangsangkan kerana kita bersaing dengan 780 buah universiti daripada 85 negara," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut Dr Berhaman di peringkat Asia, UMS berada pada ranking ke-11 iaitu naik enam anak tangga berbanding tahun lalu pada ranking ke-17.

"Pencapaian ini merupakan hasil usaha bersama seluruh warga UMS khususnya pihak pengurusan tertinggi yang sentiasa memberi sokongan penuh dalam memastikan universiti ini terus membudayakan kehijauan dan kelestarian kampus," katanya.

Untuk rekod, UI GreenMetric World University dimiliki oleh Universitas Indonesia yang merupakan sistem penilaian ranking berdasarkan kelestarian kampus tertua di dunia iaitu dilaksanakan sejak 2010.

-- BERNAMA