UMNO percaya proses pendakwaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan dijalankan secara adil, menyeluruh dan efektif oleh institusi kehakiman bagi merungkai jawapan yang dicari semua pihak berhubung kebenaran kes terbabit.

Bagaimanapun, naib presidennya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berharap langkah wajar akan tetap diambil bagi memastikan kedaulatan undang-undang dan prinsip keadilan dihormati, sepanjang tempoh pendakwaan berlangsung.

Pada masa sama, beliau menyatakan kesediaan UMNO untuk memberikan kerjasama terbaik terhadap proses berkenaan dan turut menggesa rakyat Malaysia agar bertenang, sementara pihak berkuasa menjalankan tanggungjawab mereka.

Bekas Menteri Besar Johor itu itu berkata, beliau percaya ini adalah peluang terbaik bagi UMNO untuk menunjukkan kebertanggungjawaban pemimpinnya dan menghapuskan spekulasi negatif yang ada, terutama sekali yang berkenaan dengan kes SRC International Sdn. Bhd.

"Saya berharap keadilan akan ditegakkan, sekali gus mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap institusi-institusi demokrasi dan menebus semula maruah UMNO pada pandangan umum rakyat Malaysia," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Najib yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, berdepan dengan tiga pertuduhan melakukan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahgunakan jawatannnya berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan dan dibenarkan diikat jamin sebanyak RM1 juta dengan dua orang penjamin dan diperintahkan menyerahkan dua dokumen perjalanan beliau kepada mahkamah.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak juga menetapkan tarikh perbicaraan pada 18 Feb tahun depan dan menetapkan 8 Ogos ini untuk pengurusan kes.

-- BERNAMA