UMNO Johor akan menyumbang RM50,000 kepada keluarga pesara kerajaan yang koma ketika melancong di Turki baru-baru ini, bagi membantu meringankan beban keluarganya.

UMNO Johor turut merakamkan rasa duka cita kepada keluarga Sharipah Saadah Mohamed, 57, yang kini terlantar di hospital kerajaan di Bursa, Turki kerana pendarahan otak akibat serangan darah tinggi.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Datuk Md Jais Sarday berkata beliau telah berhubung dengan Duta Besar Malaysia di Ankara bagi mengetahui keadaan sebenar pesakit.

"Saya sudah hubungi kedutaan di Ankara yang memaklumkan Sharipah sedang dirawat di hospital kerajaan di Bursa yang jauh lebih kurang 100km dari Istanbul," katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada Khamis.

Katanya beliau difahamkan pihak keluarga merancang untuk memindahkan Sharipah ke hospital di Istanbul tetapi memerlukan perbelanjaan yang belum dikenal pasti.

"Bagaimanapun, pihak kedutaan telah menghantar delegasi bagi meninjau keadaan pesakit secara terperinci."

Selain itu, Md Jais memaklumkan pihak kedutaan Malaysia di Ankara meminta agar sumbangan dapat disalurkan melalui Wisma Putra bagi memudahkan urusan.

"Saya juga ingin menyeru pelbagai pihak yang ingin menyumbang boleh menghubungi UMNO Johor bagi memudahkan penyelarasan," katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menghubungi setiausaha kerja Badan Perhubungan UMNO Johor di talian 019-338 7121 atau pengerusi biro kebajikannya di 019-755 7345. -- Bernama