Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) mengatur sembilan program pelancongan berkonsep kegiatan sukan, fotografi dan rekreasi sempena Tahun Melawat Terengganu tahun depan (TMT2013).

Pengurus Besarnya, Wan Mat Amin Wan Daud berkata kebanyakan program itu akan diadakan di Tasik Kenyir bagi mempromosi tasik buatan terbesar manusia itu di mata dunia.

"Kita mahu keindahan semula jadi Tasik Kenyir diteroka sepenuhnya sepanjang TMT 2013 nanti supaya pengunjung terutama pelancong luar dapat menimba pengalaman baru, sekaligus mempopularkan tasik itu di negara asal mereka," katanya kepada pemberita selepas penyampaian hadiah kepada pemenang Kenyir Motorcross Challenge di Kuala Terengganu, pada Isnin.

Katanya tirai pelancongan Ketengah dimulakan dengan Pertandingan Memancing Jelajah Tasik Kenyir yang diadakan sebanyak lima siri iaitu mulai dari 10 hingga 11 Feb, 8-9 Mac, 12-13 April, 13-14 Sept dan 22-23 Nov 2013.

Selain itu, Kenyir Lake International Triathlon pula akan diadakan pada 10 Mac, Pertandingan Memancing 'Boat On The Road' pada bulan April dan Festival Kenyir pula diadakan pada 16-20 Mei.