Masyarakat perlu diberi kesedaran bahawa konsep menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran adalah tanggungjawab semua pihak dan ia wajib dilaksanakan supaya gejala negatif yang melanda umat Islam masa kini dapat dibendung.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd Shahzihan Ahmad berkata bagaimanapun, konsep itu perlu dilakukan bersungguh-sungguh dengan mengaplikasikan hakikat kebenaran ilmu pengetahuan dan undang-undang.

"Kegagalan (dalam) memberi keutamaan untuk menyeru kepada kebaikan telah menyaksikan kegagalan umat Islam dalam berhadapan dengan cabaran baik daripada segi ajaran ataupun pemikiran yang jauh menyimpang dengan ajaran Islam sebenar," katanya semasa berucap di majlis penutup Konvensyen Penguatkuasaan Undang-Undang Jenayah Syariah Negeri Selangor 2019, pada Khamis.

Kira-kira 200 peserta antaranya daripada Jabatan Agama Islam Negeri-negeri, peguam syarie dan Badan Bukan Kerajaan hadir pada konvensyen anjuran JAIS itu, dan turut hadir ialah Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Tambah Mohd Shahzihan lagi, tindakan penguatkuasaan undang-undang syariah perlu dilakukan dengan tegas, professional dan berhati-hati bagi mengelakkan tercetusnya sentimen perpecahan dalam kalangan umat Islam.

"Penguatkuasaan perlu dibuat tanpa ragu-ragu, curiga dan bimbang dengan syarat ia digarisi dengan kuasa sedia ada mengikut undang-undang, kebijaksanaan dan teladan yang baik," katanya.

-- BERNAMA