Universiti Teknologi MARA (UiTM) menyediakan geran berjumlah RM3.55 juta untuk memperkasa dan melonjak prestasi penyelidikan universiti yang berimpak tinggi.

Secara khususnya, geran itu bertujuan membantu menyelesaikan masalah masyarakat berikutan pandemik COVID-19 melanda negara ketika ini.

Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Mohd Azraai Kassim dalam kenyataan berkata ia juga bakal memberi galakan kepada warga universiti agar lebih aktif dalam agenda penyelidikan yang berimpak tinggi, terutama dalam membantu negara menyelesaikan masalah kemasyarakatan.

“Geran ini yang disediakan melalui Dana Kecemerlangan Pendidikan dan Tabung Endowmen.

“Ia merupakan inisiatif di bawah Perancangan Strategik UiTM2025 dalam merancakkan budaya penyelidikan translasional yang dapat memberi manfaat kepada pihak industri, masyarakat dan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Azrai berkata inisiatif dan insentif yang disediakan ini dibuat berdasarkan situasi semasa supaya para akademik menggunakan ilmu dan kepakaran mereka dalam menangani isu-isu kemasyarakatan dan negara, terutama isu yang bersangkutan pandemik.

Menurutnya lagi, geran tersebut adalah hasil sumbangan yang terkumpul melalui inisiatif alumni, staf dan sektor korporat untuk membantu universiti dalam agenda pendidikan dan penyelidikan.

“Apa yang menarik mengenai geran ini ialah ia memberi tumpuan kepada enam bidang tujahan penyelidikan UiTM, iaitu kesihatan dan kesejahteraan, kreativiti sosial dan inovasi, dan teknologi siber.

“Bidang tujahan, antara lain, tenaga dan alam sekitar, logistik dan pengangkutan serta teknologi industri dimana bidang tersebut seiiring dengan matlamat pembangunan lestari (SDG),” katanya.

Beliau berkata geran yang akan dibuka pada Julai ini juga bertujuan untuk mengenal potensi penyelidik yang berkualiti dan berprofil tinggi serta penyelidik pelawat, terutama kepada mereka yang baru menamatkan PhD dan pasca kedoktoran.

“Malahan, kita juga menggalakkan para penyelidik kita yang berlatar belakang pendidikan dari luar negara supaya mengadakan kolaborasi penyelidikan dengan mantan penyelia mereka di sana dalam usaha memberikan impak dan reputasi baik kepada kedua-dua institusi pendidikan,” jelas Mohd Azraai.

Tambah beliau, dalam suasana pandemik COVID-19 ini dan kemudahan dalam talian para penyelidik perlu merebut peluang dengan peruntukan geran ini untuk berkolaborasi dengan rakan-rakan dan mantan penyelia mereka di luar negara.

Manakala, dari segi jumlah peruntukan untuk setiap penyelidikan pula, katanya, ia tertakluk kepada skop dan keperluan sesuatu penyelidikan tersebut.