Tun Dr Mahathir Mohamad mengharapkan agar kesemua Ahli Parlimen, baik dari pihak kerajaan mahupun pembangkang bersama-sama mencipta sejarah dengan memberi sokongan majoriti dua pertiga terhadap Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2019.

Ketika membacakan RUU itu kali kedua di Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri menyeru kesemua yang terlibat untuk bersama-sama merealisasikan hasrat untuk membuka peluang kepada anak-anak muda menyumbang tenaga dan idea demi memperkasakan demokrasi negara.

Selain itu, Ahli Parlimen Langkawi itu juga berharap, pengundi-pengundi muda akan mengambil peluang daripada pindaan ini untuk lebih arif dalam politik negara dan mengundi dengan penuh tanggungjawab.

“Sejak peralihan Kerajaan, negara terus aman dan stabil. Keadaan ini membolehkan kita membuat pindaan undang-undang dan memansuhkan undang-undang yang menindas dalam keadaan yang mengikut undang-undang (rule of law). Kita juga menghargai tindakan bipartisan yang diutama apabila kebaikan negara terlibat.

“Saya menyeru agar kita sama-sama pastikan kita lulus pindaan ini dengan memberikan sokongan majoriti lebih dua pertiga dan mencipta sejarah baharu Malaysia. Sesungguhnya demokrasi masih hidup di Malaysia, dikuatkan dengan tenaga dan akal fikiran anak muda,” katanya lagi.

Melalui pindaan itu, Dr Mahathir berkata, kerajaan mencadangkan Malaysia menurunkan had umur mengundi dan had umur calon pilihan raya seawal 18 tahun serta melaksanakan pendaftaran pemilih secara automatik.

Sekiranya pendaftaran secara automatik itu terlaksana, Perdana Menteri berkata, dalam masa lima tahun akan datang, negara akan menyaksikan 7.8 juta pengundi baharu dimasukkan ke dalam Daftar Pemilih tiap tahun sehingga tahun 2023.

“Kerajaan menganggarkan jumlah pengundi pada tahun 2023 akan meningkat lebih daripada 50 peratus menjadikan jumlah pengundi sekitar 22.7 juta, berbanding 14.9 juta pada PRU Ke-14 tahun 2018,” katanya lagi.