Sebanyak RM16 juta diperuntukkan untuk membina semula pondok dan jeti pos kawalan laut Wallace Bay bagi menggantikan pos kawalan sedia ada yang daif dan hanya menunggu masa untuk roboh.

Pos kawalan tersebut merupakan check point bagi laluan perjalanan laut dari Nunukan, Indonesia ke Tawau, yang kini digunakan Polis Diraja Malaysia dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 14 Tawau.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah ACP Mohamad Pajeri Ali berkata terdapat lima pos kawalan keselamatan laut yang telah digariskan pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) untuk pembinaan semula dengan kos keseluruhan RM84 juta.

"Perkara ini telah diajukan kepada pihak kerajaan untuk pembangunan itu disegerakan bagi membolehkan kerja-kerja dijalankan, dan juga pelaksanaan kerja itu lebih efektif, bagi pihak pasukan keselamatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Astro AWANI semasa mengadakan lawatan kerja ke Wallace Bay di Pulau Sebatik pada Selasa.

Menurut Mohamad Pajeri, selain Wallace Bay, antara pos kawalan yang menerima peruntukan pembaikan atau pembinaan semula ialah di Pulau Si Amil, Semporna, Pulau Adal, Lahad Datu, Pulau Pankuan Kecil, Sandakan dan Karakit Pulau Banggi, Kudat.

Dengan terlaksananya pembinaan semula pos kawalan tersebut akan dapat memudahkan lagi tugas-tugas kawalan keselamatan di sempadan perairan negara.

"Dengan adanya kemudahan ini, kita dapat memberikan satu kerja yang lebih besar impaknya kepada pasukan, bekerja secara efektif, berkesan, bagi memastikan keselamatan di perairan kita ini dalam keadaan terkawal," tambahnya.

Pos kawalan laut Wallace Bay baharu yang bakal dibina juga akan menjadi pos kawalan tugas bersama antara PGA Batalion 14 Tawau dan PPM Wilayah 4 Tawau untuk tugas-tugas kawalan keselamatan sempadan perairan.

Mohamad Pajeri berkata, pembinaan pos kawalan baharu tersebut, dijangka bermula tahun hadapan, adalah keperluan yang mendesak memandangkan pos kawalan tersebut menunggu masa untuk roboh dan membahayakan anggota keselamatan.