Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berpendirian yang sama dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tentang penasaban anak tidak sah taraf orang Islam diteruskan seperti sedia ada sehinggalah keputusan Mahkamah Persekutuan diperoleh, kata Ketua Pengarahnya Tan Sri Othman Mustapha.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, beliau turut menasihati umat Islam di negara ini supaya bertenang berhubung keputusan penghakiman Mahkamah Rayuan yang memutuskan mana-mana kanak-kanak yang dikandung semasa luar nikah boleh dibinkan kepada nama lelaki yang mengaku sebagai bapa.

"Semoga usaha pihak JPN melalui Jabatan Peguam Negara untuk memfailkan rayuan terhadap kes tersebut ke Mahkamah Persekutuan akan berjalan lancar," katanya.

Semalam, Ketua Pengarah JPN Datuk Mohd Yazid Ramli dilaporkan berkata sebarang pindaan terhadap pelaksanaan semasa hanya akan dipertimbangkan selepas keputusan Mahkamah Persekutuan diperoleh dan sebarang tindakan yang dilakukan oleh JPN sekarang adalah selaras dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan.



Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki juga meminta pihak Peguam Negara mewakili Kerajaan Persekutuan untuk mengangkat kes ini bagi dirayu di peringkat Mahkamah Persekutuan, dan dibahas secara holistik bagi mempertimbangkan kes ini tanpa sekali-kali membelakangi hukum dan prinsip Islam yang menjadi teras negara selama ini sebagaimana yang terpateri kukuh di dalam Perlembagaan.

BACA: Penasaban anak tak sah taraf orang Islam diteruskan seperti sedia ada

Khamis lalu, Mahkamah Rayuan dalam penghakimannya membenarkan rayuan yang dikemukakan pasangan yang memfailkan semakan kehakiman untuk memaksa Ketua Pengarah JPN menggantikan nama anak mereka yang berbin atau berbinti 'Abdullah' dengan nama bapa kanak-kanak itu dalam sijil kelahiran.

Dalam penghakimannya, Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli yang merupakan seorang daripada tiga hakim yang bersidang, berkata Ketua Pengarah JPN tidak terikat dengan fatwa atau fatwa agama yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan untuk memutuskan nama bapa anak luar nikah orang Islam.

Beliau berkata bidang kuasa Ketua Pengarah JPN adalah sivil dan tertakluk kepada menentukan sama ada ibu bapa kanak-kanak itu memenuhi syarat-syarat mengikut Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (BDRA), yang merangkumi semua kanak-kanak tidak sah taraf orang Islam dan bukan Islam.

Abdul Rahman berpendapat fatwa tidak mempunyai kuasa undang-undang dan tidak dapat membentuk asas perundangan bagi Ketua Pengarah JPN memutuskan tentang nama bapa anak luar nikah mengikut Seksyen 13A (2) BDRA.

-- BERNAMA