Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof menyifatkan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) rasis adalah tidak salah.

Tegasnya, mana-mana pihak yang tidak mahu bersama-sama memperjuangkan asas Perlembagaan boleh dikategorikan sedemikian.

"Sudah tentu ada pendapat berbeza. Saya sendiri nampak sesiapa sahaja yang tidak mahu bersama memperjuangkan atau membangunkan negara atas dasar perlembagaan dan membawa isu-isu perkauman, saya sendiri akan mengatakan mereka rasis. It's got to be clear.

"Jadi Tun Mahathir tidak salah mengatakan Dong Zong rasis kerana akan sentiasa ada penentangan dalam apa yang kita mahu lakukan dalam usaha memastikan pembangunan negara. Maksud saya, ini bukan orang baharu yang bercakap mengenai sistem pendidikan satu aliran, malah banyak negara bercakap mengenainya," katanya kepada Astro AWANI selepas menjadi tetamu jemputan dalam program Consider This pada malam Rabu.

Pada Isnin, Dr Mahathir menyifatkan Dong Zong sebagai satu pertubuhan yang rasis apabila persatuan terbabit tidak pernah bersetuju dengan dasar pendidikan negara termasuk idea penubuhan Sekolah Wawasan sebelum ini, sekali gus membantah pembelajaran tulisan Jawi di sekolah.

Bagaimanapun, Menteri Kewangan yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng tidak bersetuju dengan kenyataan rasis berkenaan dan menyifatkan Dong Zong telah menarik kritikan dan kecaman, tetapi tidak pernah mengancam hak dan keselamatan rakyat Malaysia yang lain.

Mohd Redzuan yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagaimanapun berkata perbezaan pendapat dalam kabinet mengenai isu berkenaan tidak akan menjejaskan Pakatan Harapan (PH).

"Saya rasa tidak (menjejaskan PH) begitu. Jika ada apa-apa, kami akan selesaikan dengan menguatkan Pakatan Harapan dalam memastikan pembangunan negara. Ia adalah cabaran. Kami sebagai pemimpin perlu turun ke bawah dan menjelaskan kepada rakyat," ujarnya.