Penganugerahan Darjah Bunga Paulownia oleh Maharaja Akihito kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan antara kemuncak acara dalam siri lawatan ketiga beliau ke Negara Matahari Terbit itu tahun ini.

Duta Malaysia ke Jepun Datuk Ahmad Izlan Idris berkata, darjah kebesaran kedua tertinggi negara itu, bakal dianugerahkan kepada Perdana Menteri atas jasa beliau dalam mengukuhkan hubungan rapat antara Malaysia dan Jepun.

“The Grand Cordon of the Paulownia Flower ini, secara tradisinya merupakan pingat atau darjah
kebesaran tertinggi Kerajaan Jepun kepada penerima di kalangan pemimpin luar, khususnya Perdana Menteri serta Negarawan terbilang,” katanya kepada sidang media sempena lawatan kerja kali ketiga Tun Dr Mahathir Mohamad ke Jepun, yang berlangsung antara 5 hingga 7 November ini.

Ahmad Izlan berkata, mengikut rekod, hanya terdapat dua sahaja penerima darjah berkenaan dari Asia iaitu mantan Perdana Menteri India Manmohan Singh dan Perdana Menteri Singapura, mendiang Lee Kuan Yew.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Dr Mahathir kali ini akan diiringi isteri beliau Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking, serta pegawai-pegawai kanan kerajaan yang lain.

Sejurus Perdana Menteri tiba di Tokyo pada 2.30 petang (waktu Malaysia) pada 5 Nov ini, beliau akan melawat University Tsukuba cawangan Tokyo dan mengadakan pertemuan dengan Presiden universiti itu iaitu Kyosuke Nagata.

Dalam pertemuan itu, Dr Mahathir akan menerima Doktor Kehormat dari Universiti Tsukuba, sebagai satu pengiktirafan atas usaha beliau memajukan bidang pendidikan dan penyelidikan di peringkat antarabangsa.

Pada hari kedua lawatan beliau, Dr Mahathir akan berangkat ke Istana Imperial Tokyo bagi menerima darjah kebesaran itu.

Seterusnya, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe di Pejabat Perdana Menteri Jepun bagi mengadakan perbincangan dua hala berkaitan hubungan dua negara itu.

Mereka berdua juga dijadualkan akan mengadakan sidang akhbar bersama, bagi memberi rumusan berkenaan perbincangan berkenaan, sebelum menikmati jamuan tengah hari anjuran Abe.

Pada sebelah petangnya, Dr Mahathir akan menghadiri Persidangan Bersama persidangan bersama Persatuan Ekonomi Jepun-Malaysia dan Persatuan Ekonomi Malaysia-Jepun (JAMECA-MAJECA) ke-36 di Hotel Tokyo Prince.

“Semasa persidangan itu beliau akan sampaikan ucaptama yang bertajuk “Current Situation In Malaysia and Expected Investment From Japan” di hadapan kira-kira 600 tokoh korporat dan kapten industri Jepun,” kata Ahmad Izlan lagi.

Pada hari ketiga lawatan kerja beliau di Tokyo, Perdana Menteri akan memulakan jadualnya dengan memberi ucaptama di Universiti Toyo, sebelum menghadiri jamuan makan tengah hari yang dianjurkan Maharaja Akihito dan Maharani Michiko di Istana Imperial Tokyo.

Kemudian, Dr Mahathir akan menghadiri sidang bersama wartawan Malaysia bagi membuat rumusan tentang lawatan ketiga beliau ke Jepun ini sebelum berangkat pulang ke tanah air.

Mengulas lanjut, Ahmad Izlan berkata, antara perkara utama yang dijangka dalam lawatan kali ini ialah mengenai Bon Samurai, atau jaminan pinjaman Kerajaan Jepun kepada Malaysia seperti yang dibentangkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam Belanjawan 2019 baru-baru ini.

Selain itu, ujarnya lagi, kemungkinan juga akan berlaku perbincangan mengenai usaha memperkenalkan Dasar Industri 4.0 Nasional (Industry4WRD), menarik pelaburan ke negara, serta langkah seterusnya dalam mewujudkan kereta nasional ketiga.