Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau sememangnya tidak mudah berpuas hati dengan apa-apa pencapaian, dan sikapnya itu turut dilihat dalam soal prestasi Kabinetnya.

Beliau turut menekankan keperluan bertindak dalam tempoh masa yang pantas.

"Saya tidak pernah berpuas hati. Saya kalau boleh hendak buat (apa-apa tindakan) kelmarin, bukan hari ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di sini hari ini.

Dr Mahathir ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan pencapaian Kabinetnya setakat ini yang dilantik susulan kemenangan Pakatan Harapan (PH) yang diterajuinya pada pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Beliau seterusnya menarik perhatian bahawa janji-janji pilihan raya PH belum dapat dicapai 100 peratus atas sebab-sebab tertentu, termasuk keputusan kerajaan PH yang tidak dilaksana pihak tertentu dalam jentera kerajaan.

Saya tidak pernah berpuas hati. Kalau boleh, apa yang saya hendak, telah dibuat kelmarin, bukan hari ini
"Kita dapati kerosakan yang dilakukan dalam kerajaan (akibat tindakan kerajaan terdahulu) jauh lebih buruk sehingga masih ada orang yang cuba mengelak daripada melaksanakan keputusan-keputusan kerajaan kita," kata Dr Mahathir.

Ini berlaku, katanya, kerana ada pegawai kerajaan yang masih setia kepada perdana menteri sebelumnya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Umpamanya bila kita lantik pegawai tertentu, menteri berhak mendapat pegawai mereka. Walaupun diluluskan oleh saya tapi mereka tidak dibayar gaji, dan (kita) dapat tahu sehingga empat bulan gaji tak bayar sebab ada pegawai berpendapat (kononnya) ada perkara tak kena dalam pelantikan ini," katanya.

"Tapi selepas Kabinet putuskan akan ambil tindakan, barulah gaji dibayar. Jadi nampak dalam jentera pentadbiran ada orang yang agak 'liat', tak nak terima pelantikan daripada kerajaan baharu," jelas beliau.

Mengenai pelantikan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang dikritik sesetengah pihak, Dr Mahathir berkata: "Ramai orang bagi pendapat. Dan kita juga sensitif dengan reaksi itu. Jadi kita telah buat keputusan untuk mengkajinya semula."

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengakui Dr Mahathir sering berkata beliau tidak pernah berpuas hati mengenai apa jua perkara kerana perdana menteri sememangnya mahukan yang terbaik buat negara.

Beliau berkata kenyataan Dr Mahathir itu perlu dijadikan penyuntik semangat untuk anggota Kabinet bekerja lebih keras dalam memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran buku di sini, Dr Wan Azizah mengakui anggota Kabinet PH masih lagi baharu dalam selok-belok pentadbiran kerajaan namun mereka bersedia untuk belajar demi memenuhi aspirasi rakyat.

Pelancaran buku bertajuk 'Hubungan Ibu Bapa dan Anak – Panduan Membesarkan Anak-anak’ yang dihasilkan antara lain oleh pengasas Institut Pemikiran Ilmu-ilmu Islam Antarabangsa (IIIT) Dr Hisham Yahya Altalib itu turut dihadiri Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. -- Bernama