Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini melancarkan radio tentera VHF mudah alih generasi kedua TRC5200 milik Sapura selepas pelancaran generasi pertama, TRC5102 oleh beliau 20 tahun lalu di Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi 1997 (LIMA 1997).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Sapura Secured Technologies, Datuk Zarif Hashim, misi syarikat itu konsisten sejak dahulu iaitu untuk membangunkan teknologi tempatan dalam elektronik pertahanan.

"Matlamat kami adalah untuk memastikan kita membina keupayaan supaya sektor ini boleh berdiri di atas kaki sendiri, membolehkan Malaysia untuk mencapai kedaulatan teknologi.

"Di Sapura, pelaburan terbesar kami adalah rakyat kita. Walaupun kami telah menghabiskan lebih RM407 juta (AS$100 juta) dalam penyelidikan dan pembangunan selama ini, dalam masa yang sama kami juga telah membina keupayaan dalam tenaga kerja kami.

"Dalam menyampaikan perkhidmatan, kami cuba untuk mencari keseimbangan antara manusia, mesin dan kaedah. Kami sentiasa berusaha untuk mencapai kecemerlangan dan ketepatan dalam perlaksanaan kami serta membolehkan kami untuk sentiasa memberikan melampaui jangkaan," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.

TRC5200 merupakan hasil daripada usaha Sapura selama 20 tahun mengejar misi kritikal teknologi.

Jelas Zarif, Sapura terutamanya berbangga bahawa ia adalah 100 peratus direka, dibangunkan dan dikilangkan oleh jurutera-jurutera tempatan dan pakar-pakar di Malaysia dengan Hak Harta Intelek (HHI) dimiliki oleh Sapura.

"Jajaran keluaran produk Sapura mempunyai rekod prestasi yang cemerlang, setelah dijual lebih daripada 5000 unit kepada 10 buah negara di Asia, Timur Tengah, Afrika dan Amerika Selatan, yang bernilai dalam anggaran RM70 juta."

"Dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), radio ini sekarang digunakan oleh Rejimen infantri di dalam Tentera Darat Malaysia."

"Ujian lapangan telah dilaksanakan di beberapa buah negara di seluruh dunia termasuk Angkatan Tentera Malaysia. Sapura dan Thales menjangkakan 10,000 unit radio generasi baru ini bakal terjual dalam tempoh lima tahun akan datang," katanya lagi.

Tambahnya, alat komunikasi itu mempunyai pemprosesan digital berprestasi tinggi dan penyiaran digital yang berkaitan dengan 'Built-in encryption' dalam memastikan kesulitan terjamin dan komunikasi yang selamat.

"TRC5200 digunakan sebagai alat komunikasi oleh Angkatan Tentera Malaysia sewaktu penugasan dan operasi bagi membolehkan anggota bertugas berhubung antara satu sama lain secara langsung dan tepat.

"Radio TRC5200 juga membolehkan perhubungan data antara radio di mana ia membolehkan penghantaran mesej ringkas di antara pengguna.

"Oleh kerana radio ini mempunyai antenna GPS, markas operasi dan Komander boleh menjejaki anggota melalui aplikasi Blue Force Tracking (BFT) yang dibangunkan secara bersama," ujarnya.

Selain daripada kemampuan untuk menghasilkan perkakasan kelas dunia, Zarif berkata, Sapura juga mempunyai keupayaan untuk membangunkan perisian kompleks dan memanipulasi enjin perisian bertaraf dunia dan mengubahnya menjadi teknologi yang sama dengan standard yang digunakan oleh Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).