Sebanyak tujuh tuntutan disuarakan kepada kerajaan dalam perhimpunan aman membantah pemanasan global, My Climate Strike di ibu negara pada Sabtu.

Menurut Pengasas Klima Action Malaysia (Kamy) yang juga penganjur perhimpunan itu, Illi Nadiah Dzulfakar, kesemua tujuh tuntutan itu bagi memastikan jerebu tidak melanda negara ini lagi.

"Ini namanya tuntutan Malaysia Tolak Jerebu. Kerajaan mesti gubal Akta Jerebu Trans-Sempadan. Kedua; tetapkan hukuman berat ke atas syarikat bertanggungjawab punca jerebu. Ketiga, kerajaan diminta bentuk Jawatankuasa Bertindak Khas untuk siasat syarikat punca jerebu.

Pengasas Klima Action Malaysia (Kamy) yang juga penganjur perhimpunan, Illi Nadiah Dzulfakar ketika ditemu bual media di Dataran Merdeka

"(Keempat) Larangan keras terhadap Syarikat Pelaburan berkaitan Kerajaan (GLIC) daripada bekerjasama dengan syarikat punca jerebu. Kelima; syarikat berasaskan sumber asli mesti isytihar peta konsesi kepada pihak berwajib," katanya.

Salah seorang peserta memakai topeng muka dengan membawa balang tumbuhan sebagai simbolik jerebu yang dihadapi rakyat ketika ini

Turut digesa dalam tuntutan itu, kerajaan diminta mewujudkan Sistem Pemantuan Titik Panas Nasional untuk memantau syarikat syarikat berasaskan sumber asli, manakala tuntutan terakhir adalah pemimpin negara ASEAN perlu menjamin kerjasama efektif dan mengambil pendirian tegas berkaitan.

Perarakan itu bermula dari pusat beli-belah Sogo dan berakhir di Dataran Merdeka.

Peserta perhimpunan aman My Climate Strike membawa sepanduk berkaitan selamatkan alam sekitar

Lebih 1,000 peserta membawa sepanduk antaranya tertera mesej 'Selamatkan Bumi', 'Hentikan pembakaran hutan' serta 'Siasat dan dakwa syarikat yang menjadi punca jerebu'.

Turut bersama dalam perhimpunan itu ialah aktivis sosial Hishamuddin Rais serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar.

Peserta berbaring di atas Dataran Merdeka sebagai aksi simbolik bantahan pemasan global

Perhimpunan berlangsung selama tiga jam itu, turut disaji dengan aksi simbolik bantahan pemanasan global yang menyaksikan para peserta berbaring di atas Dataran Merdeka.