Cadangan kerajaan negeri untuk menubuhkan syarikat air yang baharu disifatkan sebagai tidak praktikal dan bernas.

Naib Presiden UMNO, Datuk Mohamed Khaled Nordin berkata, cadangan Menteri Besar, Datuk Osman Sapian itu dilihat tidak memberikan perincian dan maklumat lanjut.

Menurutnya, penubuhan syarikat air yang baharu tanpa ada aset, kelengkapan, prasarana, tenaga kerja dan sumber yang mencukupi bukan sahaja akan menimbulkan masalah, malah memakan masa lama terutamanya bagi memastikan proses berkenaan tidak memberi kesan terhadap gangguan bekalan air kepada rakyat.

“Jika sekarang ini saham Syarikat Air Johor (SAJ)-Ranhill sedang murah dan jatuh, bukankah ini masa terbaik untuk membeli kerana harganya lebih murah dan sudah tentulah secara umumnya pembelian dan pengambilalihan SAJ-Ranhill memerlukan kemahuan dan persetujuan daripada mereka.

“Tetapi, adakah Menteri Besar sudah berunding dengan mereka? Adakah mereka sudah menolak idea ini dan menyatakan pendirian tegas bahawa mereka tidak akan menjual saham biar apa sekalipun hasrat, tawaran dan alasan kerajaan negeri?

"Atau adakah awal-awal lagi Menteri Besar sudah mengaku kalah dan membuat andaian bahawa SAJ-Ranhill enggan bekerjasama dan tidak akan melayan sebarang rundingan dengan kerajaan negeri?” soalnya dalam satu kenyataan media.

Mohamed Khaled yang juga bekas Menteri Besar Johor berkata, sekalipun benar SAJ-Ranhill tidak mahu dan berkeras untuk tidak menjual saham mereka, bukankah ini seharusnya menjadi cabaran dan ikhtiar seorang menteri besar.

“Beliau tidak seharusnya mengemukakan alasan bahawa ia sukar, tidak akan berjalan lancar dan tidak akan boleh dilakukan.

“Sebaliknya, beliau harus menunjukkan kesungguhan, ketegasan dan berusaha keras untuk memastikan perkara yang membawa kebaikan kepada rakyat Johor dapat dijayakan.

"Biarlah sesukar mana pun usaha dan proses tersebut.

“Adakah dengan menubuhkan syarikat air baharu ini kelak, yang saya lihat sebagai tidak praktikal, ini bermakna akan terdapat dua syarikat penyedia perkhidmatan air di Johor? Iaitu syarikat air Johor yang baharu dan SAJ-Ranhill? Atau adakah Menteri Besar akan memastikan SAJ-Ranhill tidak lagi wujud dan beroperasi serta hanya syarikat air yang baharu dibenarkan beroperasi,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, sekalipun, segala perkara yang dinyatakan itu dapat diselesaikan, bilakah sebenarnya Menteri Besar Johor bercadang untuk menubuhkan syarikat baharu ini dan adakah sudah dikenal pasti segala keperluan dan cabaran operasinya dengan baik dan teliti.

Bagaimanapun, beliau tetap berpendirian bahawa mengambil alih SAJ-Ranhill masih jalan keluar terbaik terhadap masalah air di negeri ini.

“Saya tidak akan membiarkan isu air Johor diambil ringan oleh Kerajaan Negeri memandangkan ini adalah isu serius yang melibatkan kepentingan rakyat Johor secara keseluruhannya,” katanya.