Kerajaan dicadang mewujudkan mahkamah atau tribunal GST untuk memastikan penguatkuasaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) tidak menjadi sekadar isu bermusim.

Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) Tan Sri Rahim Tamby Chik berkata, ia sekali gus jaminan kepada pengguna pemantauan harga barangan dan hukuman kepada pesalah GST.

Jelasnya, peniaga akan merasa gerun seandainya ada tangkapan dilakukan.

"Di dalam sistem GST ini kita tahu maklumat transaksi, jadi kita akan tahu butiran tiap-tiap barangan. Kita juga akan tahu apabila ada peniaga atau peruncit yang tidak mematuhi keperluan GST.

"Kita perlu perkasakan pemantauan dan penguatkuasaan kepada peniaga ini, setiap transaksi perlu ada justifikasi dan keuntungan masing-masing.

"Mereka yang degil ini mesti dihukum. Sudah menjadi kebanggaan kepda rakyat jika kerajaan ambil tindakan kepada pesalah ini. Kerana itu perlu ada tribunal GST yang menguatkuasakan isu ini secara konsisten," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

BACA: Jangan percaya tohmahan kerajaan nak naikkan kadar GST - PM Najib

BACA:
Negara rugi RM45 bilion jika mansuh GST - Irwan

Rang Undang-Undang Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 memperuntukkan fasal mengenai penubuhan Tribunal Rayuan GST yang telah digubal bagi memberi ruang mana-mana pihak mengemukakan sebarang bentuk rayuan.

Ia menjurus kepada rasa tidak puas hati dengan sebarang keputusan yang dibuat oleh Ketua Pengarah Kastam berhubung ketetapan pelaksanaan sistem percukaian itu.

Dalam pada itu jelas Rahim, kerajaan perlu memberi tumpuan kepada prosedur pengutipan dan membayar cukai daripada peruncit berkenaan.

"Ia menjadikan pihak yang berada di tengah-tengah dalam pemborongan kini perlu membayar cukai. GST menghalang ketirisan yang selama ini berlaku dan menjadikan pihak berkenaan membuat untung berlebihan," ujarnya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan kadar semasa GST tidak akan dinaikkan, seperti mana yang didakwa pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya, tuduhan itu dilontarkan semata-mata untuk memupuk sentimen negatif terhadap pentadbiran masa kini.

GST yang telah diperkenalkan sejak 1 April 2015 pada kadar enam peratus telah memberi sumbangan besar kepada ekonomi dengan menyumbang RM41.2 bilion pada tahun 2016 dan menyasarkan RM42 bilion tahun lalu.

Cukai itu juga bertindak sebagai platform bagi menstabilkan keperluan penduduk serta merencana kepentingan masa depan negara.

Negara-negara termasuk United Kingdom (UK), Jepun, India, Perancis, Korea Selatan dan Indonesia turut mempunyai GST atau cukai seumpamanya dikenali sebagai cukai nilai tambah (VAT).