Keluarga mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat di sini sepakat supaya 70 peratus wang sumbangan orang ramai diagihkan kepada waris mangsa yang terkorban dan cedera manakala baki 30 peratus lagi kepada pusat tahfiz berkenaan.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Tahfiz Malaysia (Pertama), Zamzuri Zakaria yang kehilangan anaknya Muhammad Aidil Aqmal, 10 tahun, dalam tragedi itu berkata, jumlah agihan tersebut merupakan janji pertama yang dibuat oleh pengetua pusat tahfiz, Mohd Zahid Mahmood, susulan kejadian.

"Mesyuarat pada hari ini (Ahad) diadakan bagi mendapatkan persetujuan berhubung kaedah pembahagian wang sumbangan itu dan kata putus hari ini (Ahad) akan dibawa ke perbincangan antara waris dan pihak pengurusan pusat tahfiz sebelum diuruskan oleh pihak peguam," katanya kepada Bernama selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan di sini.

Kebakaran yang berlaku pada 14 Sept 2017 itu mengorbankan nyawa 21 pelajar dan dua tenaga pengajar pusat tahfiz berkenaan.

BACA: Pusat tahfiz terbakar: 23 maut, empat serius

Dua remaja lelaki berumur 16 tahun ketika kejadian didakwa atas pertuduhan membunuh dan menyebabkan kematian mereka.

BACA: #TragediTahfiz: Dua remaja mengaku tidak bersalah

Dalam pada itu, Setiausaha Pertama Hartini Abd Gani berkata mesyuarat pada Ahad adalah susulan perintah injunksi interim yang dikeluarkan mahkamah pada 6 Julai lepas yang tidak membenarkan sebarang transaksi dibuat terhadap akaun sumbangan sehingga 30 Julai nanti.

"Ia bagi membuka ruang perbincangan antara waris dan pihak pengurusan pusat tahfiz mengenai kaedah pembahagian wang derma. Kami mahu urusan ini diselesaikan secara baik dan tidak mahu lagi timbul sebarang isu mengenai wang sumbangan ini," katanya.

Hartini yang kehilangan anaknya Nik Muhammad Ridzuan Nik Azlan, turut melahirkan rasa kesal atas tindakan beberapa pihak yang mendakwa waris tamakkan wang sumbangan dan beliau berkata tuduhan itu menjejaskan emosi keluarga terlibat.

Mohd Zahid sebelum ini dilaporkan berkata beliau dimaklumkan proses pengauditan wang sumbangan kepada waris mangsa yang meninggal dan cedera dalam kejadian itu telah selesai dan akan diagihkan selepas Hari Raya Aidilfitri.

Beliau bagaimanapun berkata tidak mengetahui jumlah sebenar sumbangan yang dikutip, namun menganggarkan ia melebihi RM7.6 juta.

-- BERNAMA