Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dituntut supaya segera memohon maaf kepada keluarga 11 mangsa yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah pada 21 Okt lepas.

Presiden Penang Front Party (PFP) Datuk Patrick Ooi berkata selain 11 mangsa itu, Lim juga didesak memohon maaf terhadap 12 mangsa lain yang terkorban dalam insiden tanah runtuh dan banjir di negeri ini sejak Julai lepas hingga awal bulan ini.

"Jumlah mangsa sudah 23 orang dari Julai hingga hari ini di Pulau Pinang. Apa yang kerajaan negeri Pulau Pinang tunggu lagi. Beliau (Lim) perlu minta maaf, takkan nak tunggu 100 orang mati baru hendak minta maaf," katanya kepada pemberita di luar bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, pada Jumaat.

Susulan tragedi demi tragedi itu, beliau berkata kerajaan negeri DAP perlu mendengar rintihan penduduk negeri ini dan perlu segera menghentikan projek pembangunan di lereng bukit selain menyegerakan projek tebatan banjir.

Ooi turut meminta Lim meletak jawatan dan memberi laluan kepada pemimpin lain untuk mengemudi Pulau Pinang.

-- BERNAMA