Sejumlah 748 pelajar dilaporkan mengalami gejala sesak nafas dipercayai akibat pencemaran di Pasir Gudang, Johor sejak 20 Jun lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata daripada jumlah itu 709 menerima rawatan pesakit luar dan 39 orang dimasukkan ke dalam wad.

Malah, beliau menegaskan, tiada mangsa yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) atau meninggal dunia susulan kejadian tersebut.

"Sehingga semalam, seramai empat kes baru dilaporkan dan kesemuanya telah mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Pasir Gudang. Tiada kes dimasukkan ke dalam wad hospital pada 27 Jun 2019.

"Satu pesakit dibenarkan keluar wad dan empat pesakit masih di dalam wad iaitu tiga di Hospital Sultan Ismail dan satu di Hospital Regency," katanya pada sidang media bersama Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin di sini hari ini.

Jelasnya, buat masa ini, keputusan sampel klinikal pesakit bagi ujian kimia seperti hydrogen cyanide, cyanide, hydrogen thiocyanide dan volatile organic substances adalah negatif.

Secara kumulatif, Dr Dzulkefly berkata sejumlah 235 individu yang terdiri daripada enam anggota kesihatan dan 229 orang awam termasuk kanak-kanak telah menerima khidmat bantuan awal psikososial (PFA)

Malah, pihaknya turut menjalankan saringan mental ke atas 10 pesakit yang dimasukkan ke hospital.

"Saringan mental telah dijalankan dengan menggunakan soalan Depression Anxiety Stress Scales (DASS) bagi 10 orang pesakit tersebut mendapati enam daripada mereka yang berumur di antara 10 hingga 17 tahun mengalami simptom keresahan (anxiety).

"Didapati tiga daripada mereka adalah pelajar yang terlibat di dalam insiden Sungai Kim Kim yang lepas. Di kalangan enam orang tersebut seorang pelajar mempunyai komorbid, iaitu bronchial asthma," katanya

Justeru, katanya semua enam pelajar tersebut akan diberikan susulan dan dirujuk kepada pakar psikiatri kanak-kanak bagi mengetahui punca sebenar gejala keresahan tersebut.

Berdasarkan sejarah pendedahan, manifestasi gejala serta penilaian psikososial dan taburan sekolah yang terlibat, tiada kejadian 'mass psychogenic hysteria' yang dilaporkan.