Portal berita The Malaysian Insider (TMI) telah disekat kerana sebuah berita memetik sumber mengenai Panel Penilaian Operasi (PPO) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bercanggah dengan kenyataan rasmi suruhanjaya itu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak yang mengesahkan perkara itu, berkata berita seperti itu menimbulkan kekeliruan.

“Apabila ia bercanggah dan sumber itu pun tidak tahu daripada siapa, sudah tentulah itu akan mengelirukan masyarakat. Jadi, ia tidak adil.

"Kita ambil tindakan dan buat siasatan. Sebab itu Ketua Polis Negara keluar kenyataan hari ini (akan) panggil editor TMI," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Karangkraf 2016, di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya tiada masalah dengan kebebasan bersuara, tetapi ia harus dibuat dengan bertanggungjawab.

“Kita boleh berbeza pendapat. Tiada masalah. Tetapi, ada ketikanya kita harus berhati-hati. Seperti kes ini. Kenyataan yang bercanggah.

“Kamu namakan sumber daripada panel itu tetapi dua ahli panel tersebut termasuk Pengerusinya sangkal kenyataan itu.

“Kita tidak boleh mengeluarkan berita seperti itu,” katanya.

Tambahnya, tindakan ke atas TMI adalah berdasarkan aduan yang diterima disusuli siasatan awal.

Pada Khamis, PPO yang menasihati SPRM, menafikan mempunyai bukti mencukupi untuk mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak seperti yang dilaporkan portal berita The Malaysian Insider.

Pengerusinya Tan Sri Hamid Bugo menafikan sekeras-kerasnya penglibatan dirinya dalam laporan tersebut yang memetik sumber tanpa nama sebagai pemberi maklumat.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menyekat laman TMI ekoran tindakan portal berkenaan yang telah mengeluarkan kandungan-kandungan yang menjurus kepada kesalahan di bawah Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Dalam kenyataan tersebut, SKMM menyatakan bahawa sekatan tersebut juga dilakukan berdasarkan aduan-aduan dan maklumat yang diterima daripada orang ramai.