Tindakan portal berita The Malaysian Insider untuk terus menyiarkan laporan kononnya Majlis Raja-Raja menolak cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 untuk memberi laluan kepada pelaksanaan hudud di Kelantan, adalah seperti terus mencabar keupayaan Institusi Raja-Raja.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata sikap portal itu amat dikesali.

“Kita rasa tindakan portal itu adalah untuk melihat sejauh manakah bukan sahaja kesabaran orang Melayu, kesabaran rakyat negara ini, kesabaran Institusi Majlis Raja-Raja, tetapi ia cuba untuk terus mencabar tiang utama dalam sistem negara,” katanya semasa satu sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata tindakan menulis dan menerbitkan artikel itu adalah bersifat provokasi untuk melihat apakah tindakan kerajaan dan reaksi orang ramai.

“Saya rasa ianya menyentuh perasaan rakyat keseluruhannya tentang soal bagaimanakah rakyat melihat perkara-perkara yang selama ini menjadi tiang seri kepada sistem kita.

“Jika dia cuba menggoncangkan tiang seri ini, kalau tiang seri ini runtuh, adakah rakyat boleh terima atau tidak?

“Kita anggap ini satu provokasi yang menguji semua pihak termasuk kerajaan dan rakyat,” katanya.

Portal berkenaan dalam satu laporan pada Khamis lepas mendakwa Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 11 Mac menolak cadangan meminda akta dalam Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan pelaksanaan hukum hudud.

Namun pada hari yang sama, Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan segera mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pindaan Enakmen Jenayah Syariah II (1993) 2015 di Kelantan melibatkan Majlis Raja-Raja.

Beliau telah berkata soal berkaitan pindaan itu hanya tertakluk di bawah bidang kuasa Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V selaku Ketua Agama negeri.

Ekoran itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan ke atas laporan portal terbabit.