Guru-guru berdepan tindakan undang-undang jika didapati menyokong atau melakukan kegiatan membabitkan kumpulan pengganas Daish, kata Timbalan Menteri Pendidikan II Senator Datuk Chong Sin Woon.

Beliau berkata Kementerian Pendidikan juga akan mengambil tindakan serta-merta sekiranya mendapati guru mempunyai kecenderungan menyokong kumpulan pengganas itu.

"Saya memberi amaran kepada semua guru di bawah Kementerian Pendidikan supaya tidak terlibat dalam sebarang kegiatan kumpulan pengganas Daesh. Oleh itu, jangan menyalahgunakan kemudahan media sosial," katanya pada sidang media selepas Program Jelajah Pendidikan 2017 Kementerian Pendidikan di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pendidikan negeri Rusni Ab. Jalil.

Chong ditanya tentang penglibatan guru dalam kegiatan itu berikutan seorang warga pendidik didakwa di mahkamah berkaitan kes Daesh tahun lepas.

Mengenai Program Jelajah Pendidikan 2017 itu, beliau berkata ia memberi peluang kepada kementerian untuk mendekati masyarakat dengan berkongsi kejayaan serta mendapatkan maklum balas berhubung usaha kementerian meningkatkan akses pendidikan berkualiti.

-- BERNAMA