Tindakan segera perlu diambil bagi menyelamatkan masyarakat Orang Asli suku Bateq di Kuala Koh yang berdepan ancaman kesihatan, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Senator Datuk Husam Musa.

Husam berkata siasatan perlu dilakukan jika kematian penduduk berpunca daripada sisa buangan lombong besi yang mencemari kawasan tadahan air penduduk.

"Langkah segera membekalkan air bersih hendaklah diambil dan kesan amalan perlombongan berkenaan hendaklah disiasat dan diatasi.

"Adalah satu peristiwa malang, Orang Asli yang telah sedia ketinggalan dan kesempitan dalam semua segi, disukarkan lagi kehidupan mereka sehingga mengorbankan bilangan yang besar keluarga mereka, termasuk kanak-kanak.

"Lebih penting ialah anggota masyarakat mereka yang masih hidup tidak terus menjadi mangsa dan dapat diselamatkan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau turut menyeru semua agensi terbabit tampil menyiasat kedudukan sebenar isu berkenaan seterusnya mengambil langkah proaktif menyelamatkan mangsa dan memaklumkan kedudukan sebenar kepada keluaga dan masyarakat Orang Asli yang terlibat dan rakyat secara keseluruhannya.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supt Taufik Maidin hari ini dilapor menafikan dua penduduk Orang Asli yang meninggal dunia di Kampung Kuala Koh pada 29 Mei lepas dan semalam berpunca sakit misteri.

Taufik turut dipetik menafikan dakwaan penduduk Orang Asli di perkampungan itu yang menyatakan 13 orang sudah meninggal dunia akibat penyakit itu memandangkan pihaknya hanya menerima laporan kematian dua orang sahaja setakat ini.

-- BERNAMA