Tindakan pantas salah seorang pemandu bas perantara MRT dan beberapa pemuda yang memberikan bantuan kecemasan terhadap seorang penduduk di Taman Bangi ketika ditimpa musibah banjir kilat ternyata mendapat pujian masyarakat.

Ia selepas situasi bantuan itu dirakam dan disiarkan menerusi laman sosial Facebook, pada Sabtu.

Paparan video berdurasi lebih 40 minit itu menunjukkan salah seorang penduduk yang terlantar sakit di taman tersebut diusung oleh beberapa pemuda bagi memindahkan mangsa ketika air mula naik di kawasan perumahan berkenaan.

Difahamkan, kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 9.50 malam dan pemandu bas berkenaan, Izan Shah Samsuddin, 33, secara kebetulan melalui kawasan berkenaan untuk ke Hab MRT Kajang.

Pada waktu kejadian, Izan melihat beberapa pemuda melambai-lambai ke arah bas yang dipandunya.

Melihat kejadian itu, Izan segera memberhentikan bas yang dipandunya dan memberikan bantuan kepada mangsa.

Pada ketika itu, air telah mencecah paras lutut dan kenderaan ringan tidak boleh melalui kawasan berkenaan.

Mangsa terbabit kemudiannya dibawa ke kawasan yang selamat sementara menunggu pasukan perubatan tiba.

Sumber Facebook mohdzulhairi.zainol.9

Susulan insiden itu, pihak pengurusan Prasarana Malaysia Berhad menerusi satu kenyataan pada Ahad, turut menzahirkan ucapan terima kasih terhadap tindakan pantas Izan dan beberapa pemuda yang membantu mangsa.

“Pihak pengurusan Prasarana Malaysia Berhad berterima kasih atas tindakan pantas salah seorang kapten bas perantara MRT yang memberikan bantuan kecemasan kepada penduduk ketika musibah banjir kilat semalam,” kata kenyataan tersebut.