Tindakan kolektif yang diambil masyarakat antarabangsa adalah kunci pemulihan daripada kesan buruk krisis kesihatan akibat COVID-19 yang telah menjejaskan ekonomi global sehingga hampir memusnahkannya, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Sabtu.

"Kesan pandemik ke atas ekonomi dan kewangan telah membuat syarikat besar dan kecil hampir tersungkur. Kita telah menyaksikan bagaimana kerja keras dan dedikasi selama beberapa dekad musnah sehingga menjadi muflis, malah, pengecilan syarikat juga pada skala yang tidak dapat dibayangkan."

Ini telah mengakibatkan ribuan kehilangan pekerjaan, katanya.

"Inilah juga sebabnya mengapa kemusnahan ekonomi sebesar ini memerlukan tindakan kolektif masyarakat antarabangsa. Terdapatnya keperluan untuk kita mengurangkan impak kepada kehidupan mereka yang terjejas," kata beliau pada Perbahasan Umum sesi ke-75 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) pada Sabtu.

Tema tahun ini ialah "The future we want, the United Nations we need: reaffirming our collective commitment to multilateralism - confronting COVID-19 through effective multilateral action".

Dalam sesi yang berlangsung secara maya, Perdana Menteri turut berkongsi pengalaman Malaysia dalam menangani pandemik iaitu dari perintah kawalan pergerakan sehinggalah ke fasa pemulihan pada masa ini.

"Bagi Malaysia, kerajaan telah menempatkan beberapa strategi pengurangan bagi menangani kesan sosioekonomi akibat COVID-19. Kami berharap Malaysia tidak hanya pulih tetapi muncul lebih kuat daripada pandemik ini".

Tindakan keseimbangan yang cuba dicapai Malaysia - antara memulakan ekonomi dan melaksanakan Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk mencegah gelombang jangkitan baharu sehingga kini amat mencabar, kata Muhyiddin.

Beliau berkata Malaysia telah melaksanakan beberapa pembaharuan ekonomi struktural dalam menghadapi landskap global baharu selepas COVID-19 berakhir.

"Kami telah memulakan pelaksanaan strategi pemulihan ekonomi, diikuti dengan program pencergasan semula ekonomi yang inklusif. Walaupun akan memakan masa sebelum kami dapat melihat hasilnya, kami akan terus mencuba sebaik mungkin untuk kembali kepada asal. Dan kami tahu kami hanya boleh melakukan yang lebih baik dengan bantuan masyarakat antarabangsa," tegas beliau.

Ekonomi Malaysia merosot 17.1 peratus pada suku kedua 2020 selepas negara mengambil keputusan melaksanakan sekatan pergerakan dengan penguatkuasaan yang ketat bagi membendung penularan penyakit COVID-19.

Pada suku kedua 2019, Malaysia mencatatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 4.9 peratus.

Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac, 2020, yang kemudiannya dilonggarkan kepada PKP Bersyarat pada 4 Mei dan PKP Pemulihan berkuat kuasa 10 Jun hingga 31 Dec, 2020, yang mana menyaksikan ekonomi telah dibuka semula secara beransur-ansur.

Bank Negara Malaysia telah menyemak kembali unjuran KDNK bagi 2020 kepada -5.5 hingga -3.5 peratus daripada -2 hingga 0.5 peratus sebelumnya memandangkan andaian awal adalah berdasarkan kepada tempoh sekatan pergerakan selama empat minggu dan bukannya tujuh minggu.

Ekonomi dijangka pulih dan mencatatkan pertumbuhan 5.5 peratus hingga lapan peratus pada 2021.

Dalam usaha merancakkan ekonomi, kerajaan setakat ini telah mengumumkan beberapa pakej rangsangan bernilai RM305 bilion, dengan paling terkini ialah bantuan tambahan di bawah Pakej Kerangka Inisiatif Tambahan Khas (KITA PRIHATIN) berjumlah RM10 bilion seiring dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan pemulihan ekonomi.

Pakej KITA PRIHATIN ialah lanjutan daripada pakej rangsangan ekonomi sebelumnya iaitu PRIHATIN, PRIHATIN SME PLUS dan PENJANA yang bernilai keseluruhan RM295 bilion atau kira-kira 20 peratus daripada KDNK negara dengan suntikan fiskal tambahan oleh kerajaan berjumlah RM45 bilion.

Sudah terdapatnya tanda-tanda pemulihan ekonomi negara kerana beberapa indeks, antaranya sektor borong dan runcit, pengeluaran perindustrian, eksport dan perbelanjaan kad kredit telah menunjukkan peningkatan ketara.

Pasaran tenaga kerja Malaysia turut meningkat pada Julai.

Jabatan Perangkaan Malaysia baru-baru ini mengumumkan kadar pengangguran turun kepada 4.7 peratus pada Julai daripada 4.9 peratus pada Jun dan 5.3 peratus pada Mei.

-- BERNAMA