Tiga Pengarang portal berita The Malaysian Insider (TMI) iaitu Pengarang Urusan, Lionel Morais; Pengarang Rencana dan Analisis, Zulkifli Sulong dan Pengarang Berita, Amin Iskandar telah ditahan polis dan akan disiasat di bawah Akta Hasutan 1948.

Penahanan tersebut adalah berikutan aduan yang dibuat oleh beberapa ahli Parlimen Barisan Nasional berkaitan laporan oleh portal beritaitu berhubung keputusan Majlis Raja-Raja berkenaan undang-undang hudud.

Difahamkan, kira-kira 12 anggota polis yang diketuai ASP Wan Aedil dari Unit Siasatan Terkelas Bukit Aman bersama sekumpulan pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyerbu premis pejabat TMI di Petaling Jaya pada jam 5.50 petang.

Antara barangan yang dirampas termasuklah beberapa buah komputer riba dan telefon bimbit.

Pada 26 Mac lalu, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja turut membuat laporan polis bagi menafikan penyiaran sebarang kenyataan berhubung pendirian Majlis Raja-Raja dalam isu hudud.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad berkata, laporan yang dibuat di Balai Polis Jalan Travers itu bagi menegaskan bahawa laporan yang disiarkan dan diterbitkan adalah tidak benar dan bukan dikeluarkan oleh pejabat berkenaan.

Menurut TMI, ketiga-tiga mereka yang diwakili peguam Syahredzan Johan disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 .

Syahredzan berkata ketiga-tiga mereka akan ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi malam ini .

Polis akan merayu untuk lanjutan tahanan reman esok.

Sementara itu, Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam tweet beliau telah mengesahkan penahanan ketiga-tiga pengarang untuk siasatan bawah Akta Hasutan.