Polis menahan seorang lelaki tempatan dan dua warga Bangladesh, berumur antara 20 hingga 47 tahun, dalam serbuan di sebuah gudang di Wisma Ransons, Jalan Stesen di sini pada Isnin.


Dalam serbuan kira-kira jam 10.30 malam itu, polis turut merampas 25,850 karton rokok seludup yang dianggarkan bernilai RM4.3 juta.


Ketua Polis Daerah Tapah, Superindenten Wan Azharudin Wan Ismail berkata, serbuan itu dilakukan pasukan gerakan khas, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, hasil maklumat dan risikan yang dijalankan.


“Hasil daripada pemeriksaan di dalam gudang tersebut, telah menjumpai rokok dipercayai lari daripada cukai sebanyak 20,000 karton rokok pelbagai jenama,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.


Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut di dalam dua buah lori, telah menjumpai 5,850 karton rokok pelbagai jenis, juga dipercayai lari daripada cukai.

Hasil pemeriksaan lanjut di dalam dua buah lori, telah menjumpai 5,850 karton rokok pelbagai jenis, juga dipercayai lari daripada cukai. 
 - Foto PDRM


Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan dan kesemua tangkapan akan dituduh di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 yang mana boleh dihukum mengikut Seksyen 135 (1)(iii)(aa) akta yang sama, yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga 20 kali ganda nilai barangan atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.


“Sekiranya orang ramai mempunyai sebarang maklumat berkaitan dengan kejadian jenayah serta lain-lain maklumat boleh berhubung terus dengan hot line IPD Tapah 05-4015222 atau boleh SMS Rakan Cops 32728 ataupun balai polis berdekatan,” ujarnya.