Tiga maut manakala seorang lagi cedera parah selepas kenderaan yang dinaiki terlibat dalam kemalangan di Jalan Tanah Merah-Pasir Mas berhampiran Kampung Bukit Tuku, tengah hari Rabu.

Mangsa yang maut adalah tiga beradik yang berusia dari 10 hingga 23 tahun.

Mangsa dikenali sebagai, Nur Fatin Arina Mohamed Asri, 23 seorang kakitangan bank di Pasir Mas, adiknya, Haifa Amira, 22, pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Anis Saraya, 10, pelajar Sekolah Kebangsaan Bukit Gading, Tanah Merah.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammed Piah berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu membabitkan kereta jenis Perodua Myvi dan Proton Wira.

Katanya, kereta Proton Wira yang dipandu oleh seorang lelaki dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan lain ketika tiba di lokasi kejadian bagaimana pun gagal sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Perodua Myvi yang dinaiki tiga beradik berkenaan dari arah hadapan.

Abdullah berkata, dua mangsa yang berada dalam kereta Perodua Myvi termasuk seorang kanak-kanak berusia 10 tahun telah meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia di Hospital Pasir Mas selepas tiga jam dirawat.

Pemandu kereta Proton Wira juga dilaporkan sedang kritikal dan mendapat rawatan di hospital sama.

Abdullah berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kesemua jenazah sedang melalui proses bedah siasat di Hospital Pasir Mas.