Tiada wabak Leptospirosis atau kencing tikus yang dilaporkan berlaku di tiga kawasan rekreasi di Tapah sejak tahun lalu, seperti yang tular di media sosial sejak Khamis.

Tiga kawasan itu ialah Lata Kinjang, Lata Iskandar dan Kuala Woh.

Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, sehingga 22 Februari lalu, sebanyak dua kes disahkan Leptospirosis telah dilaporkan dari Daerah Batang Padang.

“Kedua-dua kes ini tinggal di kawasan yang berhampiran dengan Kuala Woh. Kes-kes ini merupakan kes sporadik (kes terpencil),” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, Leptospirosis adalah penyakit berjangkit disebabkan oleh bakteria Leptospira yang berasal daripada haiwan (penyakit zoonotik).

Katanya, penyakit ini berlaku di seluruh dunia dan endemik (boleh dijumpai di merata tempat) di negara-negara beriklim tropika termasuk Malaysia.

“Pada umumnya, semua pusat rekreasi air semulajadi yang tidak diselenggara dengan baik adalah berisiko berlaku jangkitan Leptospirosis,” ujarnya.

Sehubungan itu, Jabatan Kesihatan Negeri Perak (JKNP) menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan jangkitan Leptospirosis.

Menurut Dr Ding, antara langkah itu ialah:

* memastikan sampah dan sisa makanan dibuang secara sempurna bagi mengelakkan hurungan tikus dan haiwan perosak yang lain;

* menjaga kebersihan persekitaran rumah/premis, premis makanan dan tempat rekreasi; dan

* mengelakkan daripada melakukan aktiviti riadah di tempat yang berpotensi dicemari oleh air kencing haiwan, seperti berkelah dan berenang di kolam/sungai yang tidak diselenggara dengan sempurna.

Orang ramai juga dinasihatkan mengelakkan daripada berenang atau bermain air di kawasan air bertakung atau saliran air/sungai yang aliran airnya perlahan di samping tidak minum air sungai/kolam yang tidak dimasak dan memilih premis makanan yang bersih.

Pemilik tempat rekreasi pula diminta mengambil tindakan kawalan dan pencegahan jangkitan itu dengan membersihkan kawasan persekitaran premis serta premis makanan di samping memastikan kawasan bebas daripada tikus dan haiwan perosak lain dengan mengambil langkah-langkah kawalan seperti memasang perangkap tikus dan menyediakan racun tikus di kawasan berisiko.

Selain itu, mereka juga perlu memastikan bilangan tong sampah bertutup adalah mencukupi mengikut keluasan kawasan rekreasi dan diletakkan di tempat-tempat yang strategik; mempunyai sistem perlupusan sampah dan sisa makanan secara sempurna dan berjadual dan memaparkan papan tanda tentang risiko jangkitan Leptospirosis.

“JKNP akan sentiasa memantau keadaan kesihatan persekitaran serta bekerjasama dengan jabatan dan agensi berkaitan mengawal dan mencegah jangkitan Leptospirosis,” kata beliau.

Sementara itu, Bernama turut melaporkan penafian dari Jabatan Perhutanan Negeri Perak berhubung kes Leptospirosis dikatakan di tiga kawasan riadah serta mandi-manda Taman Eko Rimba tersebut.

Menerusi penafian yang dimuat naik di Facebook, jabatan itu menyatakan komitmen akan segera memaklumkan kepada umum jika berlaku kes tersebut di kawasan berkenaan yang berada di bawah kendaliannya.

Terdahulu, tular satu memo Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Kem Tapah bertarikh 27 Feb mengenai amaran terdapat banyak kes jangkitan Leptospirosis di Lata Kinjang, Lata Iskandar dan Kuala Woh.

Menerusi memo itu, pihak Pusat Perubatan Angkatan Tentera Batallion Keempat, RAMD, Kem Tapah menasihati semua anggota tentera serta keluarga agar tidak mengunjungi ketiga-tiga kawasan yang dinyatakan.

Menurut Jabatan Perhutanan, pihaknya telah membuat semakan serta siasatan dan memohon RAMD supaya memperbetulkan semula kenyataan itu.

Sementara itu, menurut sumber memo itu hanyalah untuk edaran dalaman kepada para anggota dan keluarga sebagai langkah berjaga-jaga.