Kementerian Luar Negeri mengesahkan tiada sebarang penumpang rakyat Malaysia yang terlibat susulan insiden nahas pesawat Ukraine yang terhempas di Iran.

Kementerian itu menerusi satu kenyataan pada Rabu turut menzahirkan rasa simpati terhadap seluruh keluarga mangsa yang terlibat dalam kejadian tersebut.

Pesawat jenis Boeing 737 yang membawa seramai 176 penumpang dan dalam penerbangan ke Kyiv terhempas sebaik sahaja berlepas daripada lapangan terbang Iran pada pagi Rabu.

Menurut sumber berita Iran Tasnim News Agency, pesawat milik syarikat penerbangan Ukraine itu terhempas berdekatan Lapangan Terbang Khomeini, Tehran.

Pegawai kanan perhubungan awam di Lapangan Terbang Imam Khomeini, Ali Khashani berkata kesemua penumpang disahkan meninggal dunia dalam nahas itu.

Pihak berkuasa percaya berkemungkinan berpunca akibat daripada masalah teknikal.

BACA: Pesawat bawa 180 penumpang terhempas di Iran