KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan tiada kes penularan tempatan berhubung jangkitan wabak COVID-19 di Malaysia pada Selasa.

Berikut merupakan lima perkara yang anda perlu tahu pada sidang media KKM oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

1. Malaysia mencatatkan empat kes baharu, menjadikan kumulatif kes sebanyak 8,729 kes.

2. Kesemua empat kes baharu yang dilaporkan adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan tiga warganegara Malaysia dan satu bukan warganegara.


3. Empat kes telah pulih dan dibenarkan discaj, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 8,524 kes atau 97.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

4. Tiada kes kematian dicatatkan. Jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal sebanyak 122 kes iaitu 1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

5. Terdapat dua lagi kes positif COVID-19 yang dikesan dalam Kluster PUI Novgorod.