Kerajaan negeri Sarawak pada Sabtu menolak dakwaan bekas menteri kewangannya Datuk Seri Wong Soon Koh bahawa ia bersetuju menerima pengurangan bayaran cukai jualan negeri (SST) daripada Petroliam Nasional Bhd (Petronas) ke atas produk petroleum dari negeri itu.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Undang-undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek), Sarawak Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata dakwaan Wong bahawa cukai minyak dan gas bagi 2019 dan 2020 yang dijangkakan berjumlah RM6.775 bilion telah dikurangkan kepada RM2 bilion, adalah tidak benar dan mengelirukan.

"Di bawah syarat penyelesaian itu, Petronas akan membayar sepenuhnya SST kepada kerajaan negeri Sarawak untuk tempoh 2019. Ia berjumlah RM2 bilion, tidak termasuk penalti pembayaran lewat dan faedah terakru daripada jumlah yang dinilai dari tarikh Notis Penilaian sehingga pembayaran penuh dibuat. Jumlah yang tepat masih dalam pengiraan.

"SST untuk 2020 kekal sebanyak lima peratus daripada nilai jualan produk petroleum. Hanya Notis Penilaian bagi suku pertama 2020 telah dikeluarkan. Belum ada perjanjian untuk mengurangkan SST bagi tahun semasa 2020," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, pembayaran RM2 bilion oleh Petronas itu hanya untuk SST 2019 dan tidak termasuk SST yang dibayar oleh syarikat minyak lain seperti Shell, Murphy Oil, Pertamina dan syarikat lain yang beroperasi di negeri itu. Jumlah SST yang akan dikumpulkan pada 2020 juga masih belum dapat dipastikan.

Terdahulu, Wong yang juga Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) dalam kenyataan pada Sabtu mendakwa kerajaan negeri menjangkakan hasil minyak dan gas untuk tempoh dua tahun (2019 dan 2020) berjumlah RM6.775 bilion.

Beliau berkata Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Johari Tun Openg yang juga Menteri Kewangan Negeri perlu memberi penjelasan lanjut mengenai bagaimana kerajaan negeri mengambil kira bajet 2019 dan 2020 berikutan penurunan ketara hasil tersebut.

-- BERNAMA