Malaysia belum menerima sebarang kes serangan siber ransomware New Petya atau NotPetya yang sedang berleluasa di Eropah.

Bagaimanapun, menurut Majlis Keselamatan Negara (MKN), Malaysia juga berpotensi mengalami serangan itu.

“Sumber NC4 menyatakan bahawa tiada sebarang insiden yang signifikan dikesan atau dilaporkan di Malaysia buat masa ini.

“Walau bagaimanapun, Malaysia juga berpotensi untuk mengalami serangan ini dan kini dalam fasa berjaga-jaga,” kata agensi itu dalam satu kenyataan hari ini.

MKN berkata, Agensi Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (CNII), Pusat Kawalan dan Penyelerasan Siber Negara (NC4) sudah diaktifkan untuk berjaga-jaga.

“Pengguna komputer dinasihatkan supaya mengemaskini sistem pengoperasian windows, perisian anti-virus, membuat salinan fail-fail penting serta tidak membuka email yang diragui,” kata kenyataan itu lagi.

Dalam pada itu Pasukan Bertindak Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT) menasihatkan pihak yang terkena serangan untuk tidak bayar tebusan memandangkan tiada jaminan mangsa akan mendapat semula fail yang disekat jika bayaran dibuat.