Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan hari ini mengkritik pertubuhan yang sepatutnya menjaga kebajikan negara-negara Islam.

Walaupun tidak menyebut secara terang-terangan nama pertubuhan itu, Erdogan dipercayai menuju kritikannya ke arah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), yang berpangkalan di Jeddah, Arab Saudi.

Senada dengan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad, Erdogan berkata, pertubuhan berkenaan hanya ditubuhkan untuk menjaga kebajikan beberapa negara tertentu, tanpa mengambil kira tekanan dan permasalahan yang dialami negara Islam yang kurang bernasib baik.

“Kita masih tidak melihat sebarang kemajuan mengenai nasib rakyat Palestin, kita masih gagal menghentikan eksploitasi ke atas sumber kita, dan kita masih gagal mengatakan ‘sudah’ kepada perpecahan yang berlaku dalam Islam ekoran perbezaan mazhab. Itulah sebabnya,” katanya ketika menyampaikan ucaptama sewaktu pembukaan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 (KL Summit 2019), di sini hari ini.

Majlis itu telah dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan ucapan alu-aluan disampaikan Dr Mahathir, yang juga merupakan Pengerusi KL Summit 2019.

Berucap lanjut, Erdogan berkata, sidang ini merupakan platform yang boleh memberi peluang kepada negara Islam untuk bercakap mengenai pelbagai isu, dari Islamophobia kepada keganasan, perpecahan, pertelingkahan dalaman yang merosakkan rantau kita, serta konflik antara mazhab dan etnik.

Sebelum in,i beberapa media antarabangsa termasuk Al-Jazeera dan Reuters, melaporkan Arab Saudi kurang senang dengan penganjuran KL Summit ini, sehingga Raja Salman Abdulaziz Al-Saud mengambil keputusan untuk tidak menghadiri sidang kemuncak itu.

Arab Saudi juga bertegas bahawa sebarang perbincangan mengenai isu negara Islam sebenarnya harus berlaku di pentas OIC sahaja.

Selain Raja Salman, Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan turut membatalkan kehadirannya di saat-saat akhir, didakwa ekoran tekanan yang dikenakan Arab Saudi ke atas negara itu.