MALAYSIA hari ini menepis khabar angin yang tersebar selepas kapal mencari pesawat Malaysia Airlines MH370 hilang dari skrin pengesan, dengan menyatakan ia hanya berhenti untuk mengisi minyak di Australia dan akan meneruskan pencarian itu.

Seabed Constructor, yang dilantik pada bulan Januari untuk memulakan misi carian baru pesawat terbabit, mematikan transponder lokasinya selama tiga hari tanpa penjelasan awal bulan ini, mencetuskan spekulasi, termasuk ia 'memburu harta karun'.

"Tiada apa yang perlu dibimbangkan. Kami berharap ahli keluarga tidak cepat percaya khabar angin atau berita palsu," kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai kepada AFP.

Beliau berkata Seabed Constructor "dalam keadaan baik" dan "misi mencari akan diteruskan seperti yang dirancang".

BACA JUGA: Dakwaan penemuan baharu MH370 bakal terjawab esok?

Bulan lalu, kerajaan Malaysia mengupah Ocean Infinity, sebuah firma swasta, untuk mengetuai misi baharu pencarian bagi pesawat yang hilang itu.

Kapal pencari Seabed Constructor menggunakan dron bawah air berteknologi tinggi menampung pencarian di kawasan baru berkeluasan kira-kira 25,000 kilometer persegi di Lautan Hindi.

Tetapi memasuki hari ke-10 misi, kapal itu mematikan Sistem Pengenalan Automatiknya tanpa sebarang penjelasan.

Liow menjelaskan kapal itu sebenarnya kembali ke pelabuhan Fremantle, Australia untuk mengisi minyak mengikut jadual.

Ahli keluarga penumpang dan anak kapal MH370 yang hilang berkata, mereka dibiarkan tertanya-tanya mengapa kapal itu hilang dari monitor.

"Ya. Kami ingin tahu apa sebabnya. Dalam MH370 juga transponder dimatikan. Mengapa? Kami ingin mengetahui mengapa dan apa yang berlaku? Setakat ini kami tidak mendapat penjelasan, " kata Jacquita Gonzales, isteri penyelia kru kabin MH370, Patrick Gomes, kepada AFP.

Bagi VPR Nathan, suami kepada Anne Daisy yang turut berada di dalam pesawat yang hilang itu, tidak melihat ia sebagai satu konspirasi.

"Kapal itu tidak diwajibkan memberitahu sesiapa tentang lokasinya. Terdapat banyak teori konspirasi di luar sana. Tolong abaikannya, " katanya kepada AFP.

MH370 hilang pada bulan Mac 2014 dengan 239 orang, sebahagian besarnya rakyat China, ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.