Sarawak kembali mencatatkan sifar kes positif COVID-19 untuk hari ini (Selasa) selepas mencatatkan satu kes positif pada Isnin.

Ini menjadikan jumlah kes positif di negeri itu kekal dengan 572 kes setakat ini.

Menerusi kenyataan dikeluarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada Selasa, dua kes dilaporkan sembuh dan telah discaj.

Dua kes tersebut masing-masing di Hospital Umum Sarawak (HUS) di Kuching dan Hospital Bintulu.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 yang telah sembuh dan discaj kepada 551 kes atau 96.33 peratus,” tambah kenyataan sama.

Sementara itu empat kes dilaporkan masih menerima rawatan di wad isolasi hospital melibatkan dua di HUS, satu di Hospital Sibu dan satu lagi Hospital Bintulu.

Selain itu, 58 kes pesakit di bawah pemantauan (PUI) baru turut dilaporkan manakala tujuh kes masih menunggu ujian makmal.

Antara lain kenyataan sama turut melaporkan seramai 116 individu di bawah pengawasan (PUS) telah mendaftar masuk di hotel bagi menjalani kuarantin.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes PUS di 11 buah hotel adalah seramai 697 orang melibatkan lima daerah di negeri itu.