Sarawak kembali mencatatkan sifar kes positif hari ini (Ahad, 7 Jun 2020) selepas mencatat dua kes positif pada hari sebelumnya.

Dua kes yang direkodkan pada Sabtu menyaksikan satu kes masing-masing di Kuching dan Samarahan.

Ini menjadikan jumlah kes positif di negeri Bumi Kenyalang kekal dengan 555 kes.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, terdapat satu kes yang telah sembuh dan discaj dari Hospital Sibu.

Kes sembuh terbaharu ini menjadikan jumlah kes pulih dan discaj di seluruh Sarawak adalah 525 kes atau 94.59 peratus.

Manakala terdapat tujuh kes baharu Person Under Investigation (PUI) turut dilaporkan dan dua kes masih menunggu ujian makmal.

Angka kes positif COVID-19 di Sarawak kekal dengan 555 kes setakat hari ini.

Menerusi kenyataan JPBNS, penurunan kes yang dilaporkan sebelum ini merupakan satu petanda positif hasil pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang turut dibantu dengan amalan penjagaan kebersihan kendiri yang tinggi.

“Walau bagaimanapun, JPBNS ingin menyarankan kepada orang ramai agar terus mengamalkan penjarakan sosial dan amalan kebersihan yang tinggi untuk memastikan kes-kes jangkitan terus berkurangan.

“Dengan pembukaan sektor ekonomi dan sosial secara berperingkat, amalan ini sewajarnya dipraktikkan sebagai budaya yang baru harus diterapkan kepada semua peringkat umur,” tambah kenyataan tersebut.