Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak mengumumkan tiada pertambahan kes positif COVID-19 di negeri itu pada Selasa.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan JPBN Sarawak, jumlah kumulatif kes positif COVID-19 setakat ini kekal dengan 699 kes.

“Untuk hari ini, dua kes terbaharu dari Hospital Bintulu dilaporkan pulih dan didiscaj menjadikan jumlah kes pulih dan discaj meningkat kepada 676 kes atau 96.71 peratus,” ujar kenyataan itu.

Sementara itu kenyataan sama melaporkan empat kes masih menerima rawatan di wad isolasi melibatkan dua kes di Hospital Bintulu dan satu kes masing-masing di Hospital Umum Sarawak (HUS) dan Hospital Miri.

“Selain itu, terdapat 15 kes Person Under Investigation (PUI) dilaporkan dan tiada kes yang menunggu keputusan ujian makmal,” tambah kenyataan sama.

Antara lain, kluster Alam masih kekal sebagai kluster tunggal di negeri itu menyaksikan tujuh kes kluster ini telah pulih dan discaj manakala satu kes masih menerima rawatan di Hospital Bintulu.