Kerajaan tidak berhasrat melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), sebaliknya akan memperkenalkan Cukai Perkhidmatan Digital dan beberapa insentif cukai serta pengecualian bagi merangsang ekonomi, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Menurutnya, Cukai Perkhidmatan Digital itu akan dilaksanakan pada 1 Januari tahun depan.

"Ini antara lainnya akan membabitkan perkhidmatan seperti dan tidak terhad kepada muat turun perisian, muzik, video atau pengiklanan digital.

"Pembekal perkhidmatan asing boleh mendaftar dengan Kastam bermula 1 Oktober 2019," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2020 bertemakan 'Memacu Pertumbuhan dan Keberhasilan Saksama Ke Arah Kemakmuran Bersama' di Dewan Rakyat di sini, pada Jumaat.

Menurut Guan Eng bagi memastikan struktur cukai pendapatan yang lebih progresif, banjaran baharu bagi pendapatan bercukai melebihi RM2 juta akan diperkenalkan pada kadar 30 peratus iaitu kenaikan dua peratus daripada kadar 28 peratus sedia ada.

Kenaikan ini akan hanya memberi kesan ke atas kira-kira 2,000 individu berpendapatan tinggi di negara ini, katanya.

Sementara itu, Guan Eng berkata kerangka insentif baharu itu, semakan semula menyeluruh dan penambahbaikan kerangka sedia ada akan siap menjelang 1 Jan 2021.

Beliau berkata kerajaan akan menyediakan pakej galakan pelaburan istimewa bernilai sehingga RM1 bilion setahun selama lima tahun bagi mentransformasi perniagaan Malaysia kepada perusahaan paling kompetitif dalam pasaran eksport global.

Menurutnya insentif cukai yang diberikan kepada modal teroka dan pelabur budiman akan turut dilanjutkan sehingga 2023 bagi menggalakkan sumber pendanaan alternatif untuk syarikat pemula niaga selain menarik lebih banyak pelaburan ke Malaysia.

Bagi menyokong pertumbuhan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Guan Eng berkata kerajaan telah memutuskan untuk meningkatkan pendapatan cukai boleh bercukai sehingga RM600,000 pada tahun depan berbanding RM500,000 ketika ini dengan kadarnya dikekalkan pada 17 peratus.

Ini tertakluk kepada PKS yang memiliki modal berbayar tidak melebihi RM2.5 juta dan jualan tahunan tidak lebih RM50 juta, katanya.

Mengenai GST, beliau berkata kerajaan telah berjaya mengembalikan pembayaran balik cukai itu berjumlah sehingga RM15.9 bilion kepada lebih 78,000 syarikat pada akhir September 2019 dan bayaran balik cukai berjumlah RM13.6 bilion kepada 448,000 syarikat dan 184,000 pembayar cukai.

Bagi menambah baik kecekapan pengurusan rayuan pembayar cukai, kerajaan akan menggabungkan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan dan Tribunal Rayuan Kastam ke dalam Tribunal Rayuan Cukai.

"Menerusi cara ini, pembayar cukai yang tidak berpuas hati dengan keputusan Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri atau Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia boleh mengemukakan rayuan berkaitan cukai di bawah semua undang-undang cukai yang tertakluk kepada Tribunal Rayuan Cukai yang akan beroperasi pada 2021," katanya.

Menurut Guan Eng, mulai Januari 2021, rakyat Malaysia berusia lebih 18 tahun dan entiti korporat akan diberi Nombor Pengenalan Cukai.

-- BERNAMA