Penahanan enam rakyat Malaysia yang disyaki anggota sindiket penipuan, oleh pihak berkuasa Thai pada awal bulan dan beberapa kes baru-baru ini, menjadikan negara ini tumpuan kepada sindiket penipuan membabitkan warga Malaysia.

Oleh kerana lebih ramai rakyat Malaysia terlibat dalam penipuan pusat panggilan atau 'Macau Scam' yang kini merengkok di dalam penjara Thai, pihak berkuasa di kedua-dua negara telah mengusahakan lebih banyak kerjasama dan tindakan bersama dalam mengatasi masalah yang semakin berleluasa ini.

"Penipuan pusat panggilan membabitkan rakyat Malaysia (di Thailand) perlu diberikan perhatian. Sebelum ini, penipuan itu dilakukan oleh warga Afrika, China atau Taiwan di Malaysia, tetapi kini rakyat Malaysia datang ke Thailand untuk menipu orang di sini," kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd, kepada Bernama dalam temu bual di sini baru-baru ini.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada Polis Diraja Thai (RTP) yang meminta bantuan Bukit Aman dalam memburu sisa-sisa sindiket penipuan berkaitan dengan penahanan enam suspek itu, yang menurut sumber, dipercayai bersembunyi di beberapa negeri di Malaysia.

Sumber itu juga menyatakan beberapa rakyat Malaysia yang ditahan di Thailand adalah sebahagian daripada sindiket pusat panggilan yang didalangi oleh mafia warga Taiwan berikutan bukti yang diperoleh daripada satu serbuan dilakukan oleh polis Thai Oktober tahun lepas yang mana mereka menyelamatkan tiga rakyat Malaysia yang dipukul dan dikurung oleh sindiket itu.

Polis Thai juga menahan empat lagi rakyat Malaysia dalam serbuan itu, termasuk seorang suspek berumur 19 tahun dari Melaka, disyaki memainkan peranan besar dalam sindiket itu, bersama gengster Taiwan terbabit.

Tiga rakyat Malaysia yang diselamatkan itu -- dua lelaki dan seorang wanita -- dihantar pulang ke Malaysia semalam.

Kes terbaharu melibatkan penangkapan enam anggota sindiket rakyat Malaysia dan kes-kes lain sebelum ini menunjukkan peningkatan trend penglibatan rakyat Malaysia dalam jenayah di Thailand, yang mana telah lama dikuasai oleh kumpulan penipuan tempatan, rakyat China, Taiwan dan Afrika.

Menurut pegawai perhubungan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kedutaan Malaysia di Thailand, Supt Ridzuan Abdul Aziz, jumlah rakyat Malaysia ditahan kerana menjadikan Bangkok sebagai pusat operasi untuk sindiket pusat panggilan palsu meningkat sejak kebelakangan ini.

"Sepanjang 2017, polis Thai telah melakukan empat serbuan terhadap sindiket pusat panggilan yang diketuai rakyat Malaysia di Bangkok dan Pattaya," katanya.

Beliau berkata PDRM dan RTP perlu mengadakan pendekatan holistik dalam menangani masalah ini yang telah menyebabkan kerugian berjuta-juta Baht.

Sementara itu, Timbalan Ketua Biro Polis Pelancong Thai Mej Jen Surachet Hakpal, yang dilantik mengetuai usaha RTP untuk melumpuhkan sindiket penipuan pusat panggilan di Thailand, memberitahu Bernama baru-baru ini bahawa kerjasama daripada polis Malaysia dalam menangani masalah ini adalah penting.

Beliau berkata usaha pelbagai negara diperlukan untuk membasmi keseluruhan sindiket itu yang beroperasi secara transnasional, merangkumi beberapa negara.

"Sindiket pusat panggilan telah beroperasi (di Thailand) untuk tempoh yang lama dan mempunyai rangkaian di banyak negara. Kami perlu menyelaras dengan polis negara terbabit seperti polis Malaysia," katanya. -- Bernama