Lelaki yang ditahan polis kerana menetak mati bapa kandungnya menggunakan parang, di Jalan Padang Melangit, dekat Padang Besar, Perlis, pada Jumaat diarahkan polis supaya menjalani ujian psikiatri dalam tempoh terdekat.

Menurut Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Ghazani Abd Ghani, suspek berusia 24 tahun bagaimanapun hanya akan menjalani ujian berkenaan selepas pulih daripada kecederaan yang dialaminya.

Suspek menjalani rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar.



Dalam kejadian yang berlaku pagi Jumaat, suspek menetak bapanya menggunakan parang sehingga mati gara-gara tidak berpuas hati kerana permintaan untuk mendapatkan wang ditolak.

Suspek telah menetak mangsa beberapa kali di bahagian belakang, tangan kanan sebelum menikam perutnya, dan kemudian bertindak menikam perutnya sendiri.

DIa ditahan polis sekitar jam 8 pagi di dalam rumah neneknya yang terletak kira-kira 60 meter dari lokasi kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.