Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan telah merekodkan keterangan saksi berhubung siasatan terhadap dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya ( Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi Astro AWANI berkata, pasukan penyiasat telah merekod keterangan 12 individu bagi melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan.

Mereka terdiri daripada pegawai-pegawai Pejabat Kewangan Negeri, Pejabat Perancangan Ekonomi Negeri, Pejabat JKR, Pejabat PTG dan pengarah urusan sebuah syarikat.

Rakaman percakapan mereka dibuat di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata setakat ini tidak ada tangkapan lain dibuat dan pasukan penyiasat dalam proses merakam percakapan saksi-saksi untuk memperoleh lebih maklumat berhubung kejadian tersebut.

Dalam pada itu, ditanya sama ada, pihak SPRM akan memanggil Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan anggota Exco negeri, Azam berkata, tiada keperluan untuk berbuat demikian buat masa ini .

Azam juga mengesahkan pasukan penyiasat telah ke Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pulau Pinang hari ini untuk mengambil dokumen tambahan berkaitan siasatan yang sedang dijalankan.

Katanya, pasukan penyiasat kini dalam proses mengkaji dokumen-dokumen berkaitan kontrak perjanjian pelaksanaan kajian terowong dasar laut berkenaan.

Dokumen itu perlu dikaji dengan teliti kerana perjanjian itu dilihat amat meragukan dan nilai kajian kebolehlaksanaan projek mega itu tidak mencecah jumlah RM305 juta seperti yang diumumkan kerajaan Pulau Pinang.

Dipercayai nilai kajian itu berkemungkinan tidak selari dengan nilai pertukaran Tanah yang dibuat antara kerajaan negeri dan syarikat yang dilantik untuk membayar kajian kebolehlaksanaan itu.

SPRM pada Rabu telah menahan reman Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Syarikat Pembangunan Hartanah berpangkat Datuk selama enam hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Pada Selasa, SPRM menyerbu pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Tanah dan Galian serta Jabatan Penilaian di KOMTAR dan Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri di Jalan Sungai Pinang .

Serbuan dan tangkapan dibuat berdasarkan bukti baru berkaitan projek pembinaan terowong dasar laut yang dikemukakan kepada SPRM.

Sabtu lalu, Parti Cinta Malaysia (PCM) membuat laporan kedua dan mengemukakan bukti baharu kepada SPRM berhubung projek terowong dasar laut dirangka kerajaan DAP Pulau Pinang.

Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer, yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai dan tiga jalan utama itu dianugerahkan kepada Konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd, yang terdiri daripada beberapa syarikat.

Sebelum ini, projek itu mencetuskan pelbagai kontroversi, termasuk kos kajian kebolehlaksanaannya yang terlalu tinggi, selain kaedah pembayaran membabitkan pertukaran tanah kerajaan negeri.