Kementerian Pengangkutan mengesyorkan agar semua syarikat perkhidmatan bas ekspress dan bas henti-henti untuk menggunakan sistem e-wallet seperti yang diperkenalkan kerajaan.

Menurut menterinya Anthony Loke Siew Fook, ia sejajar dengan fokus kementeriannya ke arah digitalisasi pengangkutan awam.

“Ini satu yang amat kita (kerajaan) galakan, Kementerian Pengangkutan beri fokus digitalisasi pengangkutan awam.

“Sistem pengangkutan awam seperti bas ekspress dan bas henti-henti diharapkan dapat menyokong sistem ini, dengan memasukan sistem e wallet dalam sistem tiket mereka. Ini menyokong inisiatif e-wallet yang dibawa kerajaan,” katanya

Bagaimanapun, jelas Loke, pihaknya tidak meletakkan jangka masa bagi perlaksanaan sistem e-wallet itu.

Ia berikutan keadaan di sesetengah terminal bas terutama di luar bandar yang perlu dinaik taraf dahulu sebelum menggunakan sistem tersebut.

“Kita (kerajaan) hendak semua terminal menggunakan sistem ini, tapi kita lihat kemudahan dan keadaan di terminal bukan semua terminal menggunakan CTS.

“Jadi agak sukar nak bagi time frame, kita usaha untuk menjadikan semua terminal ini dimodenkan. Kepada syarikat bas henti-henti yang mendapat subsidi daripada kerajaan, disarankan menggunakan sistem tiket tanpa tunai secara berperingkat peringkat,” kata Loke ketika mengadakan tinjauan di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Ibu Negara pada Rabu.

Dalam tinjauan itu, Loke turut merasmikan pelancaran kiosk tiket e-wallet dan memberi cenderahati kepada penumpang bas di terminal itu.

Sehingga kini beberapa terminal bas mula menggunakan e-wallet sebagai medium pembelian tiket antaranya di Terminal Bersepadu Selatan, Ibu Negara dan Terminal Amanjaya di Ipoh, Perak.