Kerajaan negeri Terengganu telah menyumbangkan sebanyak RM2.3 juta kepada Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY Malaysia) untuk pembinaan sebuah surau bagi kegunaan dan keperluan pelarian Rohingya di Cox's Bazar, Bangladesh.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata sumbangan itu yang merupakan hasil kutipan kerajaan negeri dan rakyat Terengganu juga akan digunakan untuk menyediakan barangan keperluan harian termasuk pembekalan al-Quran, klinik perubatan ibu dan anak, bilik air dan pembinaan telaga.

Katanya, mengikut rancangan asal, beliau sendiri yang akan mengetuai misi penyerahan bantuan itu.

"Namun, kerana kekangan masa, kita telah memilih MERCY Malaysia untuk menwakilkan kerajaan Terengganu melaksanakan hasrat tersebut," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis penyerahan replika cek sumbangan berkenaan kepada MERCY Malaysia di sini pada Rabu.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail menyerahkan cek tersebut kepada Presiden Mercy Malaysia, Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus.

Ahmad Razif berkata pembinaan surau itu dijangka mengambil masa dua hingga tiga bulan bergantung kepada kelulusan pihak berkuasa di sana.

Terdahulu, beliau turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara anak syarikat Terengganu Incorporated, Terengganu Kitchen Sdn Bhd (T-Kitchen), Brahim's SATS Food Services Sdn Bhd dan Koperasi Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM).

-- BERNAMA